Siapa sebenarnya ada masalah jiwa?
TEMU RAMAH Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dengan media Britain The Scotsman pada 24 September lalu seolah-olah memperlekeh bantahan umat Islam terhadap penghinaan Nabi Muhammad SAW dengan kenyataannya: "Umat Islam ada masalah psikologi (jiwa) kerana mudah marah dan emosional".
Kenyataan Anwar ini sebenarnya menyasar kepada dirinya sendiri. Rekod perjuangan dirinya sejak peristiwa Baling sehinggalah ke demonstrasi Bersih menepati apa yang beliau maksudkan.
Kenyataan ini dibuat di Barat untuk menggambarkan sikap Anwar yang mahu menggembirakan orang Barat bahawa beliau tidak setuju dengan apa yang berlaku di seluruh dunia Islam.
Perlekehan itu juga ditujukan kepada Pemuda UMNO dan Pemuda Pas serta organisasi lain di Malaysia yang menganjurkan reaksi yang sama.
Umat Islam di mana-mana mempunyai perasaan dan hati. Kalau Rasulullah SAW dihina sudah tentu hal itu menimbulkan reaksi. Lainlah kalau umat Islam sudah 'mati rasa' seperti yang dialami oleh banyak pihak akibat penyakit taksub kepada seseorang atau sesuatu kelompok hingga tidak mampu mengenal dan membeza antara hak dan batil, maaruf dan mungkar.
Siapa yang sebenarnya sekian lama menganjurkan demonstrasi termasuk demonstrasi jalanan kalau bukan Anwar? Apakah Anwar menerima hakikat bahawa beliau menghadapi masalah psiki atau jiwa mudah marah atau emosional seperti yang beliau gambarkan dalam The Scotsman itu?
Apabila umat Islam memberikan reaksi terhadap isu yang menghina dan menjatuhkan kredibiliti Nabi dan Islam, ia tidak wajar dikatakan umat Islam sedang menghadapi masalah jiwa.
Yang menghadapi masalah jiwa ialah orang yang sudah hilang kredibiliti diri dan penyokong-penyokongnya yang sedang dihinggapi penyakit 'mati rasa'. Apabila timbul pelbagai dakwaan terhadap salah laku seseorang, lahir sindrom kebisuan untuk tidak memberi komen atau mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan dirinya.
Jalan mudah untuk memberi respons adalah menyalahkan orang lain, dikatakan konspirasi pihak tertentu, sistem keadilan yang zalim dan suatu fitnah dan sifatnya mengaibkan.
Psiki orang yang mempunyai kredibiliti adalah membersihkan dirinya daripada sebarang tuduhan yang amat berat supaya cita-citanya untuk menjadi pemimpin dihormati.
Kenyataan Anwar secara tidak langsung menghina dirinya dan menghina umat Islam yang sensitif terhadap Nabi dan agamanya. Dengan maksud menggembirakan orang Barat, Anwar telah memperlekeh orang Islam.
Membawa faham pluralisme beragama, bersetuju dengan kalimah Allah diguna pakai bukan pada tempatnya adalah contoh mudah bagaimana isu ini menjadi dukungan sesetengah pihak. Oleh kerana ada sokongan di kalangan yang sudah 'mati rasa', Anwar semakin galak memperlekeh umat Islam yang lain.
Menyatakan umat Islam mudah marah dan emosional adalah tidak rasional. Umat Islam sentiasa mengharapkan agamanya dihormati dan dididik menghormati perbezaan dalam beragama.
Bila agamanya dihina, umat Islam tidak boleh 'mati rasa' kerana tanggungjawab mempertahankan agama adalah suatu perjuangan. Tanggungjawab adalah sesuatu yang adil.
Umat Islam diajar untuk mendukung dan mempertahankan kebebasan. Tetapi kebebasan mengikut faham liberal dan pluralis tanpa had dan batasan tidak diterima oleh Islam.
Amalan LGBT yang berkembang di Barat tidak boleh diterima oleh ajaran Islam.
Kalau amalan itu cuba dikembangkan di Malaysia sudah tentu akan menimbulkan reaksi dan apabila umat Islam memberi reaksi, tindakan itu tidak dituduh umat Islam menghadapi masalah psiki atau jiwa, mudah marah dan emosional kerana isunya ialah antara hak dan batil.
Membaca kenyataan Anwar itu ibarat meludah ke langit tertimpa ke muka sendiri. Kenyataan ini langsung tidak menggambarkan pemimpin yang mempunyai kredibiliti.
Umat Islam tahu siri penghinaan Islam dan umatnya yang sedang terjadi adalah pancaran strategi Islamophobia yang tidak sepatutnya terjadi.
Tetapi yang menyedihkan apabila orang Islam sendiri memperlekeh umatnya mempertahankan imej agamanya, perbuatan itu adalah suatu hal yang perlukan renungan.
Apakah orang ini mempunyai integriti untuk memelihara keutuhan agamanya atau mahu bersekongkol dengan orang lain untuk merosakkan imej agamanya?
No comments:
Post a Comment