Antara menunaikan janji dan melawan rakyat kecil
SELAMA hampir lima tahun ini, pemberian air percuma di Selangor sentiasa disebut dan dijaja oleh pakatan pembangkang. Kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor pula sentiasa menjulang pemberian itu sebagai hadiah luar biasa kepada rakyat.Tetapi kini, setelah penggal lima tahun memerintah Selangor hampir tamat, buah tangan yang diagung-agungkan tiada taranya itu tidak juga dapat diagihkan sama rata kepada rakyat Selangor.
Ada kelompok rakyat yang disisihkan dan jumlahnya banyak. Yang disisihkan itu pula adalah rakyat kecil - penghuni flat - kumpulan yang selalu mereka angkat untuk diperjuangkan nasibnya.
Tuntutan rakyat kecil ini mudah, iaitu layanan secara adil dan saksama terhadap janji air percuma 20 meter padu yang bernilai RM11.40 yang dimeterai dengan rakyat dalam manifesto Pilihan Raya 2008. Yang anehnya, sebelum ini pun kerajaan negeri menentang usaha Syabas bersama NGO untuk membantu membayarkan bil penduduk yang telah dinafikan haknya itu.
Akhirnya, kerana kecewa, permintaan dan tuntutan tidak diendahkan oleh kerajaan negeri berslogan merakyatkan ekonomi negeri itu, kumpulan rakyat kecil ini mengambil tindakan mahkamah. Jumaat lalu, kumpulan ketiga seramai 1,515 orang iaitu pengguna meter pukal menfailkan saman kepada kerajaan negeri menuntut layanan adil sebagaimana dinikmati oleh pengguna meter individu.
Bukanlah besar sangat permintaan kumpulan rakyat Selangor ini. Jika dinilai dengan ringgit, hanya RM863,550, iaitu jumlah bil yang mereka bayar dari Jun 2008 hingga September 2012.
Hal sekecil ini pun tidak mampu mereka uruskan, bagaimana mungkin rakyat mahu percaya dengan janji bonus kepada warga emas, pengurangan subsidi, penghapusan tol dan penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan peruntukan berbilion ringgit dalam bajet bayangan mereka?
Apakah alasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menangani tuntutan rakyat kecil ini? Begitu mudah alasan beliau - manifesto yang menjanjikan air percuma itu 'bukan satu perjanjian'. Jadi, ia tidak perlu ditunaikan, malah beliau enggan melayan tuntutan itu dengan tidak memberikan ruang perundingan.
Beliau lebih rela melawan penduduk di mahkamah. Tidak terbayang rasanya gempak gempita para politikus dan NGO pembangkang jika sikap dan cara layanan memutarbelitkan janji itu dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional.
Mungkin sudah begitu cara mereka bekerja, melayan rakyat sama seperti cara mereka melawan parti lawan. Setiap rakyat yang bangkit menyatakan rasa tidak puas hati akan segera dicap sebagai penentang, walhal mereka hanya menuntut keadilan. Di manakah janji mereka untuk membela rakyat khususnya yang tertindas, dizalimi dan tidak berkemampuan?
Menempelak
Inilah juga yang ditunjukkan oleh pentadbiran tertinggi kerajaan negeri Selangor yang menempelak tuntutan penghuni rumah flat untuk menyelesaikan hutang tertunggak mereka. Hal yang melibatkan keluh-kesah rakyat kecil ini sepatutnya diberikan perhatian dan diselesaikan secara rundingan.
Tetapi apakan daya, kerajaan negeri Selangor sudah tersepit dengan permainan promosi mereka sendiri. Mereka sendiri yang bermegah-megah kononnya dapat mengambil alih hutang Talam Corporation Bhd. yang berjumlah berjuta-juta ringgit itu.
Bagi rakyat kecil ini, mereka ada hak membuat tuntutan memandangkan kerajaan negeri telah menggunakan dana berjuta-juta ringgit untuk mengambil alih hutang Talam. Jika hutang Talam boleh diselesaikan, mengapa tidak hutang mereka?
Bukankah politikus pakatan pembangkang sebelum ini yang berdegar-degar mahu membela rakyat kecil dan menentang penyelamatan syarikat besar yang dimiliki oleh orang kaya?
Siapakah juga yang mengajar rakyat supaya jangan membayar hutang seperti yang mereka perjuangkan dalam isu PTPTN? Mengapa dalam hal ini mereka bukan sahaja cuba melarikan diri, tetapi menentang tuntutan penduduk.
Sekali lagi, kerajaan negeri bersikap tidak memihak kepada rakyat kecil malah Menteri Besarnya memperlekeh kumpulan itu. Penghuni yang tidak mampu membayar hutang kata Abdul Khalid, boleh meminta bantuan zakat.
Bagi pemimpin pakatan pembangkang ini, sentiasa ada alasan untuk mempertahan tindakan mereka walaupun sehingga terpaksa melawan rakyat kecil. Mereka akan terus bersikap lepas tangan. Mereka akan terus dengan sikap tidak mahu bertanggungjawab. Buktinya sudah banyak di depan mata kita.
Sekadar memberi satu lagi contoh tentang janji gaji minimum RM1,100 oleh pakatan pembangkang. Sekarang ini pun ekoran ketidakpastian ekonomi global dan dasar gaji minimum RM900 yang bakal dikuatkuasakan awal tahun depan, telah memberi kesan kepada sektor industri negara.
Menurut laporan yang memetik Institut Penyelidikan RHB, seramai 4,609 pekerja telah diberhentikan pada Ogos berbanding dengan pengambilan 441 pekerja pada Julai. Alasannya menurut laporan itu, ialah kelemahan ekonomi global dan diburukkan lagi oleh pelaksanaan dasar gaji minimum awal tahun 2013.
Kerana nafsu mahu lebih baik daripada kerajaan BN, pakatan pembangkang dalam langkah terburu-buru memancing undi sanggup memperjudikan nasib berjuta-juta tenaga kerja tempatan.
Bayangkan apa akan berlaku jika gaji minimum unjuran pembangkang itu dilaksanakan. Mungkin pembuangan pekerja tidak lagi dapat dikawal seperti sekarang selain sudah tentu menguntungkan pekerja asing yang jumlahnya kini lebih 2 juta orang.
Tentu kita boleh agak jawapan mereka. Hal itu berlaku kerana masalah ekonomi global yang tidak boleh dikawal atau pakatan pembangkang akan berkata, mereka yang dibuang kerja boleh memohon bantuan wang zakat. Atau yang lebih mudah, janji dalam bajet bayangan tidak semestinya ditunaikan kerana perkara itu hanya cadangan.
No comments:
Post a Comment