Sunday, 14 October 2012

Derita Rohingya dan nikmat kesyukuran

Penduduk Muslim Rohingya mengangkat barangan Misi Bantuan Kemanusiaan KP1M untuk diagihkan kepada 8,657 penduduk di kampung Tin Tow Li dekat Sittwe.
SEORANG wanita Rohingya berusia lingkungan 30-an ialah antara 14,000 pelarian yang menyambut ketibaan 51 peserta Misi Bantuan Kemanusiaan Myanmar di Kem Penempatan Sementara Penduduk Tempatan (IDPs) di Thet Kay Byin, kira-kira 40 kilometer dari pekan Sittwe.
Jam ketika itu menunjukkan pukul 2 petang, namun terik matahari tidak membuatkan penduduk Rohingya gusar untuk keluar dari khemah mereka menyambut kedatangan kami.
Wajah kaum Rohingya sama ada tua, muda, kanak-kanak, lelaki atau perempuan tampak masih sugul biarpun melihat beberapa buah lori membawa bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan untuk diagih-agihkan kepada mereka.
Wanita Rohingya yang diceritakan tadi tiba-tiba memegang tangan salah seorang peserta misi, wartawan wanita sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mengikuti program ini.
Sebaik sahaja kami turun dari bas, peserta terpaksa berjalan kaki dan menempuhi pelbagai peringkat usia kaum Rohingya yang memberi salam dan mengangkat tangan.
Kami terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk tiba di sebuah rumah kosong yang mengumpulkan segala barangan bantuan dibawa oleh Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).
Wanita Rohingya itu berjalan kaki menemani wartawan wanita tadi. Sayu wajahnya membuatkan wartawan itu terharu. Dengan sedikit pengetahuan bahasa Urdu, mereka berdua boleh berkomunikasi.
Dia merayu untuk mengikut wartawan itu pulang ke Malaysia. Wanita itu mempunyai anak yang masih kecil namun baginya dia tidak kisah jika dapat mengikut rombongan kami pulang ke Malaysia.
Selepas menyampaikan bantuan dan menghabiskan masa hampir sejam di pusat penempatan itu, kami menaiki bas untuk pergi ke kem lain yang terletak tidak jauh dari kem tersebut.
Ketika itulah kami diiringi dengan linangan air mata dan lambaian kaum Rohingya yang menghantar kami sehingga ke pintu bas.
Dari raut wajah mereka, bantuan yang diberikan masih tidak cukup untuk menampung hidup mereka. Namun ia sekurang-kurangnya mampu meringankan beban untuk tempoh sebulan dua.
Wajah pelarian kaum Rohingya yang kami lihat sendiri di kem itu sudah cukup menceritakan kepayahan hidup yang mereka alami selama ini. Tidak dibenarkan keluar dari pusat penempatan, tiada sekolah, klinik dengan jumlah ubat-ubatan yang terhad selain rumah yang serba daif - itulah hidup orang Rohingya di Myanmar ketika ini.
Kami tiba di sebuah kampung tidak jauh dari khemah itu yang dihuni kaum Rohingya. Sambil berjalan masuk, tiba-tiba wanita Rohingya tadi muncul lagi. Wartawan wanita berketurunan India itu dipeluknya erat. Pelukan itu dibalas dengan rasa simpati.
Terkejut
Sebaik sahaja kami mahu pulang, dia menunjukkan wajah kecewa. Tapi misi bantuan kami mesti diteruskan di penempatan lain. Sepanjang perjalanan pulang dalam bas, wartawan wanita tadi lebih banyak mendiamkan diri. Dia mungkin terkejut kerana melihat sendiri penderitaan yang dialami kaum Rohingya di Myanmar.
"Saya kagum dengan semangat mereka untuk terus hidup dan dapat bertahan dalam keadaan serba daif di sini. Kalau saya, entah berapa lama boleh bertahan," ujar wartawan wanita itu yang pasti tidak dapat melupakan kisah yang dilaluinya pada hari kedua misi kami di Myanmar.
Misi Bantuan Kemanusiaan Myanmar membawa 580 tan bantuan kepada penduduk Myanmar yang kini ditempatkan di IDPs tanpa mengira kaum dan agama berikutan pergolakan etnik yang berlaku di Rakhine.
Dianggarkan lebih 75,000 kaum Rohingya ditempatkan di beberapa pusat penempatan di seluruh Rakhine manakala kaum Buddha pula ditempatkan di beberapa pusat penempatan berasingan sejak tercetusnya pergolakan terkini pada Mei lalu.
Hasil kerjasama baik antara Kerajaan Malaysia dan Myanmar, misi ini akhirnya diberi kebenaran untuk membawa bantuan pada penghujung September lalu dan misi ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali Kerajaan Myanmar membenarkan peserta misi bantuan masuk ke negara itu dalam jumlah yang ramai.
Mustahil
Selaku penaung KP1M, peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu berkesan apabila berjaya meyakinkan Presiden Myanmar, Thein Sein bagi merealisasikan usaha ini.
Malah, Duta Besar Malaysia di Myanmar, Dr. Faisal Muhamad turut mengakui bahawa misi bantuan ini dilihat pada mulanya sebagai sesuatu yang mustahil.
"Sebaik sahaja misi ini tiba di Yangon, saya berdoa supaya bantuan yang ingin disampaikan kepada penduduk Myanmar ini berhasil kerana bagi saya misi ini adalah 'mustahil'. Namun, hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara membolehkan misi ini menjadi 'misi yang tidak mustahil'," katanya dalam ucapan ketika meraikan kejayaan misi ini di sebuah hotel milik rakyat Malaysia di Yangon baru-baru ini.
Bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang mudah untuk misi ini masuk ke Myanmar bagi menyampaikan bantuan. Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut mengakui bahawa sejak menganjurkan 26 misi di negara luar yang terlibat dalam kancah peperangan atau dilanda bencana alam, misi ke-27 kali ini dianggap paling 'sukar'.
Bagi beliau, banyak kekangan dan permasalahan yang dihadapi oleh urus setia misi ini untuk membawa masuk barangan menerusi kapal Sinar Bima selain urusan membawa para sukarelawan dalam jumlah yang ramai.
"Saya bersyukur kerana akhirnya pada 29 September lalu, pasukan pendahulu (advance team) dapat berlepas ke Myanmar selepas pelbagai rintangan yang kita lalui. Pasukan utama pula berlepas pada 6 Oktober dan kami berjaya melaksanakan misi ini membawa 580 tan bantuan kepada rakyat mereka khususnya di Rakhine.
"Sebelum kami berangkat, ada yang mengutuk tindakan saya ini yang disifatkan gila kerana membawa media dalam jumlah yang ramai ke Myanmar. Silap-silap ada yang kena sembelih di sana.
"Alhamdulillah, selepas tiga hari kami berada di Rakhine, misi ini berjaya menyampaikan bantuan kepada penduduk Islam dan Buddha di lapan buah IDPs dan dua kampung di di sana. Walaupun bantuan yang sempat disampaikan itu hanya 150 daripada 580 tan yang dibawa, kami berjaya melaksanakan tugas ini hasil doa 28 juta rakyat Malaysia," kata Abdul Azeez yang jelas berbangga dengan kejayaan misi kali ini.
Bagi semua peserta misi ini, banyak pengalaman yang kami perolehi sepanjang tiga hari berada di Rakhine, sebuah negeri yang sedang bergolak akibat tiada penyatuan rakyat pelbagai kaum dan etnik.
Rakyat Malaysia yang dikurniakan keamanan dan kemewahan hidup seharusnya bersyukur dengan kemakmuran di negara kita. Janganlah ada hasad dengki, dendam serta iri hati antara pelbagai kaum kerana hasil yang akan kita peroleh mungkin jauh lebih teruk daripada apa yang dapat kami saksikan di kem-kem penempatan sementara di Rakhine.
Jagalah perpaduan antara kaum, jangan berlaku pergolakan apatah lagi disebabkan fahaman politik. Kita juga tidak mahu ada individu yang kononnya berperanan sebagai wira untuk mengubah sistem pemerintahan yang sedia ada dengan dakwaan kerajaan sekarang terlalu zalim.
Jika ingin menjadi wira, dipersilakan bantulah kaum Rohingya yang kini hidup dalam serba kedaifan atau datang sendiri untuk melihat keadaan mereka di sana serta bandingkanlah dengan apa yang rakyat kita kecapi ketika ini.
Kemiskinan, perintah berkurung, serangan penyakit dan yang paling utama sekali, tiada lagi erti keharmonian adalah bukti yang jelas apa yang berlaku di utara Myanmar akibat pergolakan etnik yang berlaku di negara itu kini dan semua itu tidak mustahil berlaku di Malaysia seandainya kita alpa.

No comments:

Post a Comment