Rujuk yang benar, elak kebatilan
AHLI politik dan ahli ilmu haruslah bersama-sama berganding bahu menyatukan pemikiran dan tenaga untuk menangani segala isu dan masalah yang timbul di dalam masyarakat kita, secara khususnya, masyarakat Islam.
Dewasa ini, isu kalimah Allah yang dituntut supaya digunakan di dalam kitab Kristian ketika menterjemahkan kalimah God atau Lord dan sebagainya, nampaknya telah selesai, dengan keputusan terakhir Pas melalui Majlis Syuranya, bahawa Allah adalah Tuhan umat Islam yang konsepnya tidak sama dengan God atau Lord, yang hendak diterjemahkan di dalam Bible versi bahasa Melayu sebagai "ALLAH".
Dari segi konotasi bahasa bahawa Allah itu sebagai Tuhan, mungkin tidak menimbulkan konflik akidah, kerana semua orang menyebut Tuhan, tetapi dari segi konsep dan penjelasan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa, adalah sesuatu yang khusus untuk Tuhan dalam agama Tauhid. Ini bererti bahawa zat Tuhan yang berkonsepkan triniti, atau mengandungi pengertian kepelbagaian Tuhan lain adalah jelas bertentangan dengan agama Tauhid, agama Islam yang diturunkan oleh Nabi terakhir, Muhammad SAW bahawa Allah itu adalah Tuhan Yang Maha Esa, yang diterangkan dengan jelas dalam surah 112 (Surah Al-Ikhlas) di dalam kitab suci al-Quran:
"Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah Yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan segala makhluk untuk memohon sebarang hajat, Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya."
Daripada tema dan pengertian surah ini jugalah datangnya ucapan kalimah syahadah yang merupakan asas pertama yang seharusnya diiktikadkan oleh manusia ketika menerima Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadah bahawa "tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah.
Hal ini perlu ditanamkan di dalam hati keturunan umat Islam sejak dari awal, sejak di dalam buaian ketika iqamah diucapkan kepada bayi yang baru lahir, yang di antaranya menyebut kalimah syahadah yang amat unik ini, dan dengan itu anak-anak umat Islam tidak akan terkeliru dengan istilah dan konsep Tuhan dalam konteks agama tauhid ini, yang mungkin boleh mempengaruhi minda mereka apabila semua Tuhan di dalam agama lain juga boleh dinamakan Allah, yang juga mungkin memberikan persepsi yang salah terhadap perbezaan akidah di antara agama Islam dan agama lain.
Bagaimanapun, jika diteliti pengertian ayat al-Quran, ternyata umat Islam tidak seharusnya menjadikan perbezaan kefahaman tentang agama Islam dan agama samawi lainnya sebagai titik tolak untuk berkonflik dan bermusuhan dengan bukan Islam. Namun dalam masa sama, umat Islam haruslah mempertahankan akidah dan elemen-elemen yang boleh merosakkannya dengan tegas.
Pertikaian tentang nama Allah juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk umat Islam berkonfrantasi dengan penganut lain, malah dalam hal menyentuh akidah, kita semuanya tetap mengamalkan dasar bersatu dalam kepelbagaian dengan syarat umat bukan Islam juga seharusnya menunjukkan sikap yang sama terhadap umat Islam. Ayat yang dimaksudkan itu ialah firman Allah S.W.T di dalam ayat 46, surah (29) Al-'Ankabut: Dan janganlah kamu berbahas (berdebat) dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka, dan katakanlah (kepada mereka) "kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami, dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu, dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu adalah satu, dan kepada-Nya-lah kami patuh dengan berserah diri".
Saya usulkan agar umat Islam meneliti kandungan ayat ini dan mengkaji tafsirnya yang baik dari para ulama dan ahli tafsir yang tulen. Para pentafsir menerangkan tentang kandungan ayat ini bahawa sekiranya berlaku perdebatan antara orang Islam dan bukan Islam, ahli Kitab, orang Yahudi dan Kristian, maka janganlah kita berdebat dengan cara yang tidak baik, tetapi ambillah cara berhikmah dengan mengemukakan hujah secara ilmiah yang dapat menyerlahkan kebenaran Islam dan perbezaannya dengan golongan lain.
Di antara petunjuk Allah yang diberikan kepada umat Islam di dalam ayat ini ialah tentang strategi perdebatan itu, iaitu ketika umat Islam sentiasa mengambil jalan damai dalam perbahasan, maka terangkanlah dengan jelas kepada pihak ahli kitab itu bahawa umat Islam tetap beriman kepada kitab-kitab mereka, Taurat dan Injil yang tulen dan asli, sama seperti berimannya umat Islam kepada al-Quran. Umat Islam telah diajar supaya menerima dan meyakini semua Nabi dan kitab suci yang diturunkan kepada Nabi yang terdahulu. Maka demikianlah sebaliknya orang-orang yang diturunkan kepada mereka kitab yang lain seharusnya mereka juga mestilah beriman kepada kitab suci al-Quran.
Maka dalam hal inilah para ulamak, para umarak, dan umat Islam umumnya haruslah mengkesampingkan ideologi kepartiannya yang sempit untuk membicarakan isu ini secara ilmiah dan mencari penyelesaian bersama secara sepadu, jujur dan ikhlas, bukan kerana mengikut sentimen dan emosi yang meledak kerana tujuan politik.
Saya rasa pihak Pas telah membuat keputusan terakhir tentang kalimah Allah ini berdasarkan kaedah syariah kita yang mengatakan "bahawa kembali kepada kebenaran itu adalah lebih baik daripada berlarutan di dalam kebatilan". Maka atas dasar ini saya para ulama, sama ada yang bergiat aktif dalam parti politik, atau tidak, seharusnya tampil membetulkan segala perselisihan dan perbalahan di antara ahli politik Islam yang ada kalanya akan menegakkan wawasan masing-masing berdasarkan ideologi politik kepartian.
Rasulullah SAW menjelaskan yang haram itu jelas, yang halal juga adalah jelas, dan di antara kedua-duanya itu terdapat isu-isu atau hukum yang samar-samar.
Dalam sejarah konflik umat Islam yang berlaku dalam era kebangkitan Islam pada tahun-tahun 70 an, dan ketika umat Islam berusaha untuk kembali kepada ajaran agamanya yang sejati, termasuk mengislamkan politik, kerajaan, sosial, ekonomi dan sebagainya, maka kefahaman tentang akidah juga sering terbawa-bawa dalam konflik itu, yang di antaranya timbullah isu kafir mengkafirkan sesama umat Islam yang dikenali dengan istilah "takfir". Takfir ialah hukuman murtad, syirik dan kafir yang dijatuhkan oleh segolongan umat Islam kepada saudara seagamanya, yang dianggap mempunyai akidah dan amalan yang salah, tidak sama dengan akidah pegangan mereka. Gerakan takfir berlaku dalam politik umat Islam di seluruh dunia, dan mengakibatkan perpecahan dan tindakan ekstrem yang membawa kepada pertumpahan darah.
Masyarakat Malaysia juga mengalami kejutan ini, dan sehingga ke hari ini banyak saksi yang tampil mengemukakan bukti dan pengalaman masing-masing ketika berlaku perpecahan yang serius di dalam masyarakat Islam sendiri akibat dari elemen ini, atau pentafsiran yang dibuat oleh orang awam tentang wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang dianggap kafir berbanding dengan golongan yang lain.
Fakta sejarah ini tentulah tidak dapat dinafikan lagi, dan sungguh pun kesannya secara langsung mungkin mulai luput, tetapi saya merasakan para ulama dan ahli agama, bersama-sama dengan ahli ilmuwan dan ahli politik sendiri, haruslah berusaha membetulkan keadaan ini. Kalau dalam isu nama Allah nampaknya kita mendapat persepakatan baik, maka saya rasa dalam isu ini pun kita perlu menjernihkan suasana dan kekaburan yang berlaku selama ini. Malah kalau dengan umat lain, ahli kitab juga, kita seharusnya dapat berdebat dengan baik, maka saya rasa dalam isu takfir ini juga kita dapat bertindak demikian. Ingatlah kaedah yang menjelaskan bahawa rujuk kepada kebenaran itu adalah lebih baik daripada berlarutan dalam kebatilan.
No comments:
Post a Comment