Wednesday, 23 January 2013


Pengurusan keselamatan nasional Malaysia

TANGGUNGJAWAB utama pemerintahan di negara membangun, termasuk di Malaysia, adalah menguruskan keselamatan nasionalnya secara cekap dan berkesan supaya negara bebas daripada sengketa dalaman dan tidak digugat anasir-anasir luaran atau kuasa-kuasa asing.
Ini kerana pengurusan keselamatan nasional adalah pengurusan keterdedahan, ancaman, risiko dan cabaran yang menggugat negara di hari muka (Hough 2004) berdasarkan persepsi ancaman yang diputuskan oleh elit pemerintah sesuai dengan kepentingan rakyatnya.
Matlamat prima pengurusan keselamatan nasional adalah memelihara nilai-nilai teras dan kelangsungan negara, termasuk mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan integriti tanah air, serta keunggulan institusi awam dan ideologi nasionalnya.
Di negara majmuk seperti Malaysia, nilai-nilai teras yang turut diutamakan termasuklah ketahanan nasional, perpaduan rakyat, keharmonian beragama, kesaksamaan dalam pembahagian kekayaan ekonomi, dan keseimbangan di dalam pembangunan wilayahnya.
Fokus terhadap nilai-nilai teras ini terkandung dalam kajian keselamatan nasional di negara-negara membangun termasuk oleh Abdul Monem Al-Mashat (1985), Edward Azar & Chung-in Moon (1988), R.D. McLaurin (1988), Mohammed Ayoob & Chai-Anan Samudavanija (1989), Barry Buzan (1991).
Antara karya sarjana keselamatan Malaysia yang turut menumpu kepada pemeliharaan nilai-nilai teras nasional, termasuklah oleh Muthiah Alagappa (1987), Noraini Abdullah (1989), K. S. Nathan (1998), Sity Daud & Zarina Othman (2005), Ruhanas Harun (2009) dan Kamarulnizam Abdullah (2012).
Huraian di atas menunjukkan bahawa apabila sesebuah pemerintahan, termasuk di Malaysia menitikberatkan aspek keselamatan nasional demi masa depan bersama, keprihatinan ini adalah dilandasi oleh tanggungjawab mereka memelihara masa depan negara dan rakyat jelatanya.
Tanggungjawab ini menyebabkan seseorang perdana menteri atau presiden menjadi ketua eksekutif dasar keselamatan nasional (Lobell 2009). Disebabkan keselamatan nasional juga membabitkan ancaman luaran, perdana menteri atau presiden juga menjadi ketua eksekutif dasar luar (Hill 2003; Lobell 2009).
Memang terdapat pihak yang menghujah adakah perdana menteri atau presiden memelihara keselamatan nasional demi kesejahteraan rakyatnya, atau untuk memelihara keselamatan rejim demi kepentingan partinya memerintah?
Hujah ini lazimnya disuarakan oleh kelompok politik alternatif di sesebuah negara yang membantah pelaksanaan sesuatu undang-undang keselamatan kononnya kerana undang-undang tersebut dibentuk untuk menghapuskan pengaruh pembangkang.
Beberapa pengkaji keselamatan di negara membangun yang menyedari dakyah seperti ini, termasuk Kamarulnizam (2012), menegaskan bahawa pemeliharaan keselamatan nasional di negara membangun tidak boleh disinonimkan dengan negara maju.
Faktor utama yang membezakan kaedah dan pekenanan dasar keselamatan nasional di negara maju dan negara membangun adalah corak nilai-nilai terasnya. Hakikat ini jadi lebih rumit di negara yang majmuk.
Ini kerana majoriti negara majmuk seperti Malaysia adalah negara yang pernah dijajah kuasa Barat, dan kemerdekaan pula menyebabkan mereka menjadi negara berbilang bangsa dan pelbagai agama.
Sesebuah negara-bangsa seperti Jepun atau Jerman, dibangunkan atas aspirasi rakyatnya yang satu bangsa, sama sosio-budaya, tidak berbeza asas ekonominya. Namun negara majmuk perlu dibangunkan berasaskan aspirasi yang dimandatkan oleh majoriti rakyat kepada pemerintahnya.
Dalam konteks ini, keselamatan pemerintah menjadi antara nilai-nilai teras nasional. Ini kerana pemeliharaan keselamatan rejim adalah perlu untuk menjamin kemantapan pemerintahan sebagai pelaksana dasar pembinaan negara.
Ini kerana sesebuah pemerintahan yang lemah akan menghasilkan negara yang lemah, rapuh atau gagal. Pemerintahan yang lemah tidak terdaya untuk mengabadikan sumber-sumber ekonomi dan iltizam politiknya bagi pembinaan negara yang kukuh (Buzan 1991).
Lantas negara majmuk lazimnya memaktubkan tatacara nasional ke dalam perlembagaannya. Perlembagaan Malaysia, mempunyai tatacara rakyat, khususnya mengenai kewarganegaraan bukan Melayu serta definisi Melayu; tatacara ekonomi, terutamanya mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera; dan tatacara keselamatan seperti di dalam Perkara 149.
Seluruh tatacara dalam Perlembagaan Malaysia ini bersifat struktural - dimaktubkan atas permuafakatan seluruh pihak yang merdekakan negara ini, Melayu, Cina dan India - atas persetujuan penjajah Inggeris dan restu Raja-Raja Melayu.
Oleh itu, kesinambungan pemerintahan juga menjadi faktor penting kepada pengurusan keselamatan nasional Malaysia, terutama sekali untuk membolehkan pemerintahan ini memelihara peruntukan-peruntukan struktural dalam Perlembagaan.
Kesinambungan ini juga penting kerana seluruh parti alternatif yang berusaha keras untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) mutakhir ini adalah pihak yang tidak terlibat dalam pembentukan Perlembagaan dan kemerdekaan negara.
Pas selaku parti tertua dalam barisan alternatif adalah parti yang tidak mengemukakan sebarang cadangan kepada Suruhanjaya Reid yang membentuk Perlembagaan negara. (Rujuk Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957).
Oleh sebab itu, hingga ke hari ini pun Pas tidak mengiktiraf bahawa seruan azan oleh Tan Sri Hassan Azhari menggemakan Stadium Merdeka setelah doa kemerdekaan dibaca dan sebelum Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957 (mrkumai.blogspot.com, 1 Oktober 2011).
DAP pula adalah parti yang melanjutkan perjuangan PAP yang ketika Singapura berada dalam Malaysia, mempertikaikan pelbagai peruntukan struktural dalam Perlembagaan negara menerusi propaganda Malaysia Malaysia (Rujuk The Setapak Declaration 1967; Comber 1983; Vasil 1984; Tunku Abdul Rahman Putra 1987).
Dengan ini, wajar kita bertindak rasional dan berhati-hati sebelum membuat keputusan mengenai corak pemerintahan Malaysia di hari muka kerana tanggungjawab utama pemerintahan di Malaysia adalah memelihara keselamatan nasional, bukan menjadikan Malaysia negara lemah, rapuh atau negara gagal.

No comments:

Post a Comment