Penyatuan umat Islam Asia Tenggara
MALAYSIA sering menjadi penggerak utama dalam memainkan peranan sebagai sebuah negara Islam di Asia Tenggara mahupun di peringkat dunia. Negara ini dilihat paling berjaya dalam membangunkan masyarakatnya melalui penghayatan dan aplikasi ajaran Islam secara sederhana.
Ini termasuk membangunkan asas-asas ekonomi, sosial dan agama secara adil dan saksama walaupun dalam suasana kemajmukan rakyatnya.
Dengan kelebihan ini, Malaysia turut menjadi tempat rujukan masyarakat Islam minoriti khususnya di rantau Asia Tenggara jika wujud sebarang isu dan konflik yang timbul dalam menghadapi cabaran di negara mereka.
Fakta itu diakui oleh masyarakat Islam Kemboja melalui Ahli Parlimennya, Zakaryya Adam yang menyatakan Malaysia adalah model terbaik yang boleh dicontohi kerana berjaya mengembangkan sistem ekonomi Islam sehingga diakui di serata dunia.
Namun, mutakhir ini, hak dan kepentingan Islam cuba diganggu-gugat dan dicabar oleh masyarakat bukan Islam yang perlu ditangani secara bijak. Bukan itu sahaja, pelbagai cabaran lain membabitkan persoalan hidup turut melingkari masyarakat minoriti Islam dalam bidang ekonomi, politik, budaya dan agama.
Justeru, kekuatan antara umat Islam serantau perlu dibina untuk mencari kesatuan dalam kalangan umat Melayu Islam agar agama suci ini dilihat sebagai agama yang mencintai kedamaian bukannya keganasan.
Dalam usaha memainkan peranan itu, satu Seminar Nusantara: Islam di Asia Tenggara - Cabaran dan harapan dianjurkan bagi membentuk kesatuan pemikiran melalui pendekatan wasatiyyah dalam kalangan masyarakat Islam agar dapat berperanan baik di negara masing-masing.
Seminar yang dianjurkan tiga hari yang berakhir kelmarin itu mengumpulkan tokoh ilmuwan dan pemimpin Islam serantau bagi menggembleng tindakan bersama terhadap isu-isu yang mendepani kedudukan mereka.
Dengan menampilkan lapan ilmuwan Islam yang membentangkan kertas kerja masing-masing, seminar yang merupakan cetusan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berjaya mencapai kata sepakat untuk tindakan pemimpin-pemimpin umat Islam Nusantara serta masyarakat Melayu Islam keseluruhannya.
Kejayaan umat Islam tidak mungkin akan dicapai tanpa perpaduan kukuh sebagai teras dalam membina kekuatan sesama umat Melayu Islam melalui tiga mekanisme penting iaitu sejarah bangsa, agama Islam dan bahasa Melayu.
Antara pembentang yang menarik perhatian ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; Timbalan Rektor Universiti Islam Yala, Thailand, Dr. Ahmad Omar Chapakia; Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim dan Profesor Pelawat Kolej Kerajaan Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM Colgis), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.
Turut serta, Pengkaji Islam di Myanmar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Mohiyuddin Mohd. Sulaiman; Pensyarah Universiti Kebangsaan Singapura, Prof. Muhammad Hussin Mutalib; Imam Besar Masjid Istiqlal, Indonesia, Prof. Dr. Ali Mustafa Yakub dan Ahli Parlimen Kemboja, Zakryya Adam.
Tokoh-tokoh dan ilmuwan Islam itu membincangkan cabaran dan harapan serta kebangkitan umat Islam di negara masing-masing termasuk pembangunan sosio ekonomi masyarakat minoriti Islam di sana.
Dalam resolusi yang dicapai pada seminar yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, mereka bersepakat bahawa sejarah tamadun Melayu Islam negara-negara Asia Tenggara perlu diangkat semula untuk disebarkan dalam pendekatan yang menjurus kepada pembinaan perpaduan umat tanpa merosakkan hubungan antara negara serantau sedia ada.
Pengalaman sejarah yang menampilkan elemen wasatiyyah, hikmah dan toleransi harus menjadi asas usaha pembugaran sejarah itu dalam semangat kebersamaan serumpun dalam kalangan umat Melayu Islam Nusantara.
Persamaan akidah Islamiah mampu menjadi elemen penyatuan yang kuat maka ia harus diperkasakan dalam aspek kehidupan sambil memelihara Maqasid al-Syariah yang berteraskan kesederhanaan dan keseimbangan melalui kesepakatan untuk membanteras penyebaran virus liberalisme dan pluralisme yang kian menjadi ancaman kepada kesucian akidah dengan cara berdiskusi dan wacana berterusan yang memberi kefahaman kepada umat Islam serantau.
Pemikiran satu umat (wahdatul fikr) berasaskan akidah Islamiah yang luhur perlu diterapkan demi perpaduan serumpun berpaksikan pendekatan ahli sunnah wal jamaah sekali gus menolak mana-mana pendekatan yang terlalu rigid atau longgar.
Menyedari persamaan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi dan penyatuan hubungan kerjasama yang erat sejak dahulu hingga kini, maka keunggulan bahasa itu perlu dimartabatkan dengan mengukuhkan aspek penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan, keilmuwan dan perdagangan di rantau Nusantara.
Maka, aspek pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan minoriti Melayu Islam perlu diperkasakan dengan menyediakan prasarana pendidikan dan latihan yang mencukupi di samping menganjurkan wacana dan penerbitan serantau bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.
Sebagai tindakan segera selepas seminar yang dianjurkan Persatuan Generasi Bestari dan MyKMU.net itu, Malaysia bersedia menubuhkan sekretariat Kerjasama Nusantara (Sutera) sebagai platform membincangkan isu-isu dalam pelbagai bidang sekali gus mencari penyelesaian strategikmeliputi komuniti umat Melayu Islam Asia Tenggara.
Mengumumkan perkara itu semasa penutupan seminar tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sekretariat itu akan dikendalikan oleh Institut Wasatiyah Negara yang diketuai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Md. Zin bersama Persatuan Generasi Bestari.
Katanya, Sutera akan menjadi pusat sehenti pembinaan jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran serta ilmu di antara komuniti Melayu-Islam Nusantara dalam pelbagai bidang strategik yang dikenal pasti.
''Sutera akan mengenal pasti, mencadang dan memantau tindakan-tindakan strategik yang boleh dilaksanakan oleh institusi swasta dan kerajaan negara-negara terbabit demi kemaslahatan umat Melayu Islam Nusantara," katanya.
Selain sekretariat itu, Malaysia juga akan berusaha menjadi peneraju atau fasilitator dunia Melayu Islam Nusantara dalam konteks membina jaringan dan kerjasama serantau dalam bidang keilmuan dan pendidikan latihan, ekonomi dan perniagaan, politik dan pentadbiran serta budaya dan kemasyarakatan.
Umat Islam serantau juga perlu dibantu untuk menghadapi cabaran di negara mereka dalam kerangka diplomatik, wasatiyyah dan hubungan semangat ASEAN yang harmoni demi kebaikan bersama.
No comments:
Post a Comment