Wednesday, 23 January 2013


Memahami gelagat pengundi PRU-13

Pengarah Institut Analisis Politik Malaysia
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia>
Pada kebiasaannya menjelang pilihan raya, ramai calon yang bertanding akan mula mendekati pengundi. Hubungan yang bersifat pasif ini, akan menjadikan pengundi sebagai objek politik. Padahal pengundi seharusnya dijadikan sebagai subjek dan calon yang bertanding sebaik-baiknya menempatkan diri sebagai pelayan serta ejen pembaharuan dalam masyarakat.
Hakikatnya, hubungan antara calon bertanding dengan pengundi selalu berbeza daripada harapan pengundi. Setelah memenangi pilihan raya, calon melupakan janji dan mereka kepada pengundi.
Sementara itu, pengundi juga kerap kali mengubah sokongan daripada satu parti ke part lain. Peningkatan dan perkembangan media massa dan kelompok non partisan, menyebabkan ikatan ideologi yang dulu sangat kukuh kini semakin longgar. Pengundi semakin hari menjadi kritis dan selalu menilai segala tindakan yang dilakukan parti yang memenangi pilihan raya.
Jika mereka mendapati program kerja yang dilaksanakan parti atau calon pemenang pilihan raya tidak sesuai dengan janji yang diberi sewaktu berkempen, pengundi akan 'menghukum' parti atau wakil dengan tidak mengundinya kembali pada pilihan raya berikutnya. Keputusan mengundi berbeza secara signifikan daripada keputusan ekonomi dan komersial pada umumnya. Keputusan mengundi semasa pilihan raya dapat dianalogikan sebagai gelagat pembelian (purchasing) dalam dunia perniagaan dan komersial.
Dalam dunia perniagaan dan komersial, keputusan pembelian salah akan memberi kesan langsung terhadap subjek dengan kehilangan penggunaan (utility loss) barang atau faedah daripada barang yang dibelinya. Sedangkan keputusan yang salah dalam pilihan raya tidak memiliki kesan langsung bagi pembuat keputusan, kerana keputusan individu tidak memberi sebarang erti kecuali dalam jumlah yang besar.
Keputusan individu adalah sebahagian kecil dari keputusan kolektif. Hanya individu yang mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi persepsi dan pendapat awam sahajalah yang memiliki kemampuan untuk mempengaruhi secara berkesan.
Gelagat pengundi dalam pilihan raya juga dianalisis oleh Schumpeter (1966). Menurut beliau, pengundi mendapatkan informasi politik dalam jumlah besar dan beragam dari pelbagai macam sumber yang mungkin bersifat berlawanan. Dalam era informasi melimpah ini, pengundi berhadapan dengan keadaan yang sangat sulit untuk memilih informasi. Misalnya, kesukaran menentukan sumber informasi yang diterima sama ada boleh dipercayai atau hanya sekadar rumor yang tidak memiliki landasan kuat dan berdasarkan persepsi serta pertimbangan semata-mata.
Sementara itu, Brennan dan Lomasky (1977) serta Fiorina (1981) menyatakan bahawa keputusan mengundi semasa pilihan raya adalah gelagat 'penuh perasaan'. Gelagat ini tidak jauh berbeza daripada gelagat penyokong yang memberikan sokongannya pada sebuah pasukan bola sepak.
Menurut mereka, gelagat pengundi sangat dipengaruhi ketaatan dan ideologi. Keputusan untuk memberikan sokongan dan suara tidak akan terjadi apabila tidak terdapat ketaatan pengundi yang cukup tinggi kepada parti politik pilihan mereka. Sebaliknya, pengundi tidak akan memberikan undian jika mereka menganggap bahawa sesuatu parti politik tidak taat serta tidak tekal terhadap janji dan harapan yang mereka berikan. Oleh itu, konsep ketaatan harus dilihat dari dua arah, iaitu dari pengundi kepada parti politik dan dari parti politik kepada pengundi.
Ketiadaan insentif ekonomi ketika pengundi menentukan undian politik membuat banyak pihak berpendapat bahawa pengundian lebih merupakan keputusan penggunaan daripada keputusan penanaman modal (Aidt, 2000). Insentif ekonomi dilihat sebagai 'keuntungan' secara ekonomi ketika pengundi memberikan sokongan kepada sesuatu parti politik atau calon yang bertanding.
Daripada perspektif individu, keputusan pengundi akan dilihat sebagai gelagat pengguna dan pembelajaran yang akan habis digunakan, bukan sebagai aktiviti yang menjanjikan hasil tuaian dalam jangka masa panjang.
Selain itu, ada pendapat mengatakan gelagat pengundi dalam pilihan raya tidak mempunyai unsur pembiayaan ekonomi seperti yang diungkapkan oleh Niemi (1976) dan Aldrich (1993). Menurut mereka, proses pengundian yang dilakukan di dalam bilik-bilik undian tidak melibatkan pengaruh ekonomi. Tanpa pembiayaan ekonomi ini, pengundi akan bebas menentukan undiannya kepada sesiapa pun. Pengundi seperti ini sering berada dalam kedudukan berbelah bagi secara ekonomi.
Ertinya mengundi seseorang calon bertanding tidak menjadi lebih menguntungkan atau merugikan dibandingkan dengan pengundi bersifat ekonomi pada saat 'membeli' (walaupun harus diingat bahawa sesungguhnya undian salah yang dilakukan oleh kebanyakan orang akan melibatkan dasar politik dan seterusnya pada perekonomian masyarakat secara umum, termasuk perekonomian individu).
Hal ini juga yang membawa kepada pemahaman bahawa pengundian semasa pilihan raya lebih didorong oleh faktor-faktor bukan ekonomi seperti ideologi dan budaya.
Kerumitan, ketaatan, kebimbangan dan ketidakpastian adalah ciri khas yang selalu hadir pada saat pengundi harus menentukan undiannya (Aldrich, 1982). Menurut beliau, hal ini berpunca daripada penggunaan slogan dan peristilahan politik yang tidak difahami oleh kebanyakan individu masyarakat, kesuntukan waktu untuk berfikir kerana harus segera menentukan pengundian dan keterbatasan kemampuan analisis setiap individu untuk melihat kesan logik dari program yang diajukan oleh setiap calon yang bersaing.
Terdapat sejumlah parti politik atau calon sering meletakkan diri dan menonjolkan isu politik seumum mungkin sehingga dapat mewakili majoriti masyarakat (Franklin, 1991). Perkara ini dilakukan agar calon pilihan raya berkenaan boleh diterima oleh segenap golongan yang memiliki kepentingan yang berbeza-beza dalam sesuatu isu politik. Selain itu, kebimbangan masyarakat juga dipengaruhi oleh ketidakmampuan parti meletakkan dirinya dalam sesuatu permasalahan politik, sehingga mesej politiknya menjadi kabur dan sukar difahami.
Limpahan informasi dan kempen politik menjelang kempen pilihan raya menyulitkan pengundi untuk mengolah dan menganalisisnya. Di samping itu, informasi yang wujud sering kali jauh daripada kenyataan. Hal ini diakibatkan oleh teknik manipulasi politik untuk melemahkan lawan, janji-janji politik, penggunaan konsep dan bahasa yang rumit serta propaganda di satu sisi, sedangkan di sisi lain pengundinya menghadapi keterbatasan pemikiran.
Percubaan memahami faktor yang berlatarbelakangkan sebab dan cara pengundi menyuarakan pendapatnya adalah sesuatu yang paling baik dalam teori mahupun praktis (Quist & Crano, 2003). Salah satu model ideologi yang boleh digunakan untuk menganalisis gelagat pengundi dalam menentukan undiannya adalah model kesamaan (similarity) dan daya tarik (attraction).
Menurut perspektif ini, kelompok yang terbentuk dalam masyarakat adalah kerana setiap individu dalam suatu kelompok memiliki kesamaan, sehingga kemudiannya mereka membuat kumpulan dalam masyarakat berdasarkan persamaan itu. Berdasarkan perspektif ini dalam dunia politik bererti pengundi tertarik kepada calon-calon pilihan raya berdasarkan kesamaan ideologi dan program kerja antara individu dengan calon. Terdapat dua hal yang dapat dilakukan oleh calon menurut perspektif ini. Pertama, calon pilihan raya berusaha memahami sifat di setiap kelompok masyarakat. Kedua, kesamaan sifat ini dapat digunakan sebagai instrumen untuk mencari penyokong.
Tema kempen dan slogan politik harus memiliki darjah kesamaan yang tinggi dengan masyarakat agar masyarakat tertarik kepada calon yang bertanding. Semakin isu politik mencerminkan pengalaman masyarakat, semakin besar pula kemungkinan calon itu memenangi pilihan raya.
Secara keseluruhannya, wujud berbagai teori dalam menerangkan gelagat pengundi. Melalui pemahaman gelagat pengundi ini parti politik akan dapat mengatur strategi pilihan raya untuk menawan hati dan pemikiran pengundi untuk mengundi calon-calon yang bertanding.


No comments:

Post a Comment