Wednesday, 23 January 2013


Rusia haramkan propaganda gay

SEORANG aktivis Ortodoks bergelut dengan seorang penyokong kempen yang memperjuangkan hak kumpulan homoseksual semasa tunjuk perasaan di hadapan bangunan State Duma, Moscow, semalam. - AGENSI

MOSCOW 22 Jan. - Rusia akan mengharamkan 'propaganda gay' dan majlis umum yang menggalakkan permintaan hak golongan homoseksual di dalam rang undang-undang baharu.
Pengharaman itu akan menyaksikan perbuatan bercium antara lelaki di khalayak umum boleh didenda sehingga 10,000 pound (RM48,100).
Rang undang-undang itu dicadangkan oleh Kremlin dan Gereja Ortodoks Rusia yang mengharamkan pemberian maklumat walaupun sedikit, yang disifatkan sebagai 'propaganda sodomi, lesbianisme, biseksual dan transgenderisme'.
Acara dan majlis umum yang menggalakkan permintaan hak golongan gay juga diharamkan sama sekali.
Perbuatan bercium sesama jenis boleh didefinisikan sebagai 'propaganda homoseksual'.
Rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen Rusia pada bulan ini.
Stesen televisyen, Fox News melaporkan, rang undang-undang itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan nilai tradisional Rusia.
Ini ekoran liberalisme Barat yang dilihat oleh Kremlin dan pihak gereja mampu merosakkan belia negara ini dan menyumbang kepada gelombang membantah pentadbiran Presiden, Vladimir Putin.
Kremlin sebelum ini telah melaksanakan beberapa undang-undang yang dikatakan bertujuan untuk melindungi belia Rusia sejak beberapa bulan lalu.
Antara undang-undang tersebut termasuk membenarkan pengharaman dan menyekat kandungan web dan percetakan yang dilihat bersifat melampau atau tidak sesuai untuk golongan muda.
Seorang ahli sosiologi sebuah badan pemantau bebas Levada Center, Denis Volkov berkata, rang undang-undang antigay itu bersesuaian dengan keinginan kerajaan mengehad pelbagai hak di negara ini.
Bagaimanapun, berhubung rang undang-undang antigay tersebut katanya, rakyat biasa Rusia tidak ambil kisah. - AGENSI


Sesungguhnya engkaulah anak kepada Allah - Matthew 14:33.

SAYA tabik kepada Datuk Dr. Haron Din, Datuk Harun Taib, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Datuk Ismail Kamus, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Nasharudin Mat Isa, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid, Datuk Seri Hassan Ahmad, Datuk Abdul Rahman Osman, Datuk Nooh Gadut dan Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin serta beberapa tokoh lain yang telah mempertahankan kesucian agama Islam melalui bantahan keras mengenai penggunaan kalimah Allah S.W.T. dalam penterjemahan bible ke bahasa Melayu.
Mereka inilah ulama sebenarnya yang tidak gentar untuk menegakkan kebenaran.
Tindakan mereka ini telah menyebabkan para pemimpin Pas lain - sama ada bergelar ulama atau tidak - terpaksa menarik balik keputusan untuk membenarkannya.
Saranan Lim Guan Eng (dia Kristiankah?) supaya kalimah Allah S.W.T. itu digunakan sudah pasti sekiranya diikuti, akan memecahbelahkan umat Islam di negara ini.
Bagaimanakah para pemimpin ini boleh menyatukan umat kalau dalam hal sifat Allah S.W.T yang semudah ini pun mereka boleh memberi pendapat yang salah?
Dalam perbahasan beberapa minggu mengenai penggunaan kalimah Allah S.W.T. bagi penterjemahan Bible, pernahkah para ulama dan orang biasa yang menyokong penggunaannya membaca Bible dan faham akan akibatnya sekiranya perkataan "God" atau "Lord" dalam Bible itu diterjemahkan menjadi kalimah "Allah S.W.T."?
Mari saya tunjukkan sedikit ayat yang terkandung dalam Bible yang mengandungi perkataan "God" dan "Lord". Saya sertakan terjemahan seperti di dalam kurungan:
1) For God so loved the world, that he gave his only begotten Son, that whosoever believeth in him should not perish, but have everlasting health - (John 3:16).
"Kerana Allah kasihkan dunia, Dia mengurniakan satu-satu anaknya, agar sesiapa yang mempercayainya tidak akan musnah, tetapi akan mendapat kesihatan yang berpanjangan"- (John 3:16).
2) And lo, a voice from heaven, saying "This is my beloved Son, with whom I am well pleased" (Matthew 3:17; Mark 1:11).
"Nah, suatu suara dari syurga, berkata "Inilah anak yang Aku sayangi dan sangat senangi" (Matthew 3:17; Mark 1:11).
3) Truly you are the Son of God (Matthew 14:33).
"Sesungguhnya engkaulah anak kepada Allah" (Matthew 14:33).
Lihatlah pada tiga ayat Bible di atas yang kesemuanya menyatakan bahawa "God" mempunyai "Son". Bila diterjemahkan perkataan God kepada Allah, maka ia bermakna Allah S.W.T. mempunyai anak. Ini adalah salah mengikut ajaran Islam dan boleh mencemarkan kesucian agama Islam. Sudah lupakah ulama yang menyokong penggunaan Allah untuk Bible kepada Surah Al-Ikhlas yang bermaksud antara lain bahawa "Allah S.W.T. tidak beranak dan tiada pula diperanakkan"?
Atau mereka ini sanggup menggadai kesucian agama demi kepentingan diri, mengikut kehendak orang yang bukan Islam? Bertaubatlah dan mohon keampunan-Nya.
Guan Eng yang menyarankan penggunaan Allah dalam Bible tidak akan menanggung apa-apa.
Sebaliknya, orang Islam di bawah pimpinan sesetengah ulama dan bukan ulama telah hampir menyesatkan umat dengan pendapat mereka.
Mereka sanggup membelakangkan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Dewan Ulama Pas sendiri.
Tidak takutkah saudara-saudara Islamku apabila melihat kepada tajuk tulisan ini yang menyatakan Allah S.W.T. mempunyai anak?
Inilah terjemahan kepada ayat di dalam Bible sekiranya kalimah Allah S.W.T. diterjemahkan untuk menggantikan "God" atau "Lord".
Sedarlah saudara-saudaraku bahawa ada golongan yang tidak arif dalam agama Islam tetapi berlagak seperti arif dan tindakan mereka boleh menyesatkan kita.
Menyatakan bahawa Allah S.W.T. mempunyai anak adalah sesuatu yang kufur. Sedarlah tentang bahaya penggunaan nama Allah dalam terjemahan Bible. Kita semua perlu bersatu mempertahankan kesucian agama Islam daripada terus diperkotak-katikkan.
Saya menulis surat ini demi mempertahankan Islam dan bukan atas niat lain. Allahuakbar!


Kemuncak’ sokongan Malaysia

Najib Tun Razak bersama Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh (kiri) pada Majlis Sambutan Perdana Menteri di Rafah, semalam. - BERNAMA
DALAM laman rasmi sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Aman Palestin, tercatatkan sejarah berikut: “Pembentukan negara haram Israel pada 15 Mei, 1948 di bumi Palestin 65 tahun lalu telah mengundang malapetaka besar di mana dunia mulai menyaksikan kekejaman rejim Zionis melalui pertempuran demi pertempuran yang mengakibatkan beribu-ribu warga negaranya gugur syahid, jutaan pelarian yang meninggalkan tanah airnya sendiri berhadapan masalah pengangguran dan cacat anggota.
‘‘Tidak kurang juga anak-anak menjadi yatim kerana kehilangan ibu bapa dan isteri menjadi janda kerana kehilangan suami yang terkorban mempertahankan Palestin dari terus dijajah dan dicabuli. Penderitaan dan kesengsaraan berpanjangan yang ditanggung rakyat Palestin menjadi satu keinsafan bagi umat Islam menghulurkan bantuan.’’
Semangat berkobar-kobar rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin bukan sekadar omong kosong, dan semalam boleh dianggap ‘kemuncak’ kepada semangat berkenaan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjejakkan kaki di bumi Palestin.
Kehadiran beliau ke Gaza bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama berbuat demikian malahan lebih daripada itu ia mempunyai signifikannya tersendiri.
Ternyata kesibukan dalam membuat pelbagai pertemuan di dalam negara khususnya dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, sama sekali tidak menjejaskan keprihatinan Perdana Menteri terhadap penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin.
Oleh itu, Najib mengadakan apa yang dipanggil lawatan kemanusiaan ke Gaza bersama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Lawatan ini dikatakan memenuhi jemputan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh yang pada 11 Disember lalu menyatakan telah menghubungi Najib untuk menjemput Perdana Menteri Malaysia itu berkunjung ke Gaza.
Biar pun lawatan ke bumi Palestin hanya beberapa jam, namun ia cukup bermakna, apatah lagi kunjungan kali ini mendapat perhatian masyarakat dunia termasuk media-media di Israel.
Kehadiran Najib sudah pasti menggembirakan pemimpin dan rakyat Palestin yang sememangnya amat memahami sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat negara itu yang sedang ditindas oleh rejim Zionis.
Sokongan Malaysia kepada Palestin bukan sahaja melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Aman Palestin dan Aqsa Shariff tetapi oleh kerajaan Malaysia sendiri. Kehadiran Najib akan memperkukuhkan lagi sokongan berkenaan dan sekali gus memberi isyarat kepada dunia khusus umat Islam bahawa Malaysia dulu, kini dan selamanya akan terus bersama perjuangan rakyat Palestin.
Mungkin akan ada pihak tertentu di Malaysia akan memandang sinis lawatan ini dan pasti ada yang akan mendakwa kononnya pemimpin mereka sudah sampai lebih awal berbanding Najib.
Sementara kita mengakui sumbangan mereka, namun kehadiran Perdana Menteri jauh lebih signifikan dan mempunyai makna yang cukup mendalam.
Kalau pihak-pihak berkenaan akan berusaha untuk memperkecilkan lawatan Perdana Menteri maka kita juga berhak mempertegaskan bahawa datang ke Palestin jauh lebih baik berbanding pergi bertemu mana-mana pemimpin kerajaan Syria.
Tidak apalah, sememangnya bagi pihak tertentu apa pun yang dilakukan oleh kerajaan ia tidak akan dipuji namun mereka sama sekali tidak boleh menafikan bahawa lawatan Najib membuktikan bahawa Malaysia komited dalam soal perjuangan rakyat Palestin dan tidak akan mempedulikan apa juga tafsiran pihak lain terhadap komitmen tersebut.
Keprihatinan Najib untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin dan meninjau sendiri nasib rakyat negara itu membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin Islam yang ‘cakap serupa bikin’.
Beliau tidak berdegar-degar bercakap soal bagaimana perjuangan rakyat Palestin harus terus disokong tetapi bersedia ke negara itu untuk melihat sendiri penderitaan mereka. Melalui cara itu Perdana Menteri percaya beliau akan mendapat gambaran yang lebih jelas berhubung keperluan rakyat bekenaan.
Sebelum ini, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan politik telah menghulurkan pelbagai sumbangan kepada rakyat Palestin.
Kita sudah saksikan bagaimana selepas rakyat Palestin diserang bertubi-tubi oleh rejim Zionis pada November lalu, berpuluh-puluh pihak dari Malaysia ‘berlumba-lumba’ masuk ke Gaza untuk memberi bantuan kepada rakyat Palestin.
Kekejaman dan keganasan berterusan yang ditunjukkan oleh rejim Zionis sama sekali tidak melunturkan semangat rakyat Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin malahan ia dianggap pembakar semangat kepada mereka.
Oleh itu apabila Najib sendiri sudi melakukan lawatan ke Gaza ia dianggap pembakar semangat dan isyarat kepada masyarakat dunia bahawa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kerajaan atau tidak, pertubuhan bukan kerajaan mahupun individu, semua bersedia berkorban apa sahaja demi perjuangan rakyat Palestin.
Atas semangat itu jugalah, Najib ketika menyampaikan ucapan ketika menerima ijazah doktor kehormat Universiti Al-Aqsa menawarkan bantuan Malaysia untuk menjayakan pelan damai melibatkan dua pihak di Palestin iaitu Hamas dan Fatah.
Sememangnya tawaran itu penting kerana dalam apa keadaan pun kita harus menerima hakikat bahawa masa depan Palestin sama ada akan terus berada dalam keadaan konflik atau mencapai keamanan segala-galanya bergantung kepada kedua-dua pihak tersebut.
Oleh itu adalah penting jika Malaysia memainkn peranan yang lebih aktif untuk memastikan Hamas dan Fatah atas nama satu ummah menyelesaikan apa juga perbezaan antara mereka.
Nasib lebih 5 juta rakyat Palestin bergantung kepada kedua-dua pertubuhan itu, mana-mana juga negara termasuk Malaysia hanya berupaya untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan tetapi penentu kepada usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan bermaruah bergantung kepada pihak-pihak di Palestin sendiri.
Justeru Hamas dan Fatah tidak boleh membiarkan selama-lamanya perbezaan antara mereka menjadi penghalang, Pelan Damai yang kini diusahakan oleh Mesir harus dijayakan.
Dan sebagai penyokong kuat kepada perjuangan suci rakyat Palestin sejak dulu, kini dan selamanya, tawaran Malaysia untuk turut memainkan peranan menjayakan pelan damai berkenaan tidak boleh dipandang sepi.
Apa pun sama ada tawaran Malaysia itu diterima atau tidak, terserahlah kepada pihak-pihak berkenaan untuk menentukannya tetapi apa yang pasti seperti mana kata Najib, semua manusia berhak untuk hidup secara aman, selamat dan bermaruah. Itulah harapan dan doa rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin kerana perpaduan adalah kunci mewujudkan keamanan dan kemakmuran.



Majlis Media perlu selesaikan kes saman, bukan mahkamah

SUDAH banyak kali saya membincangkan mengenai penubuhan Majlis Media atau Media Council di negara ini. Saya ingin sangat melihat majlis itu ditubuhkan segera. Banyak yang baik daripada tidak baik yang boleh dilakukan oleh majlis itu.
Dalam masa media dan akhbar-akhbar arus perdana dihentam dan menghadapi tindakan sivil di mahkamah, sudah sampai masanya Majlis Media yang sudah tertangguh penubuhannya sejak puluhan tahun lalu diwujudkan segera.
Tujuan saya menulis lagi mengenai cadangan itu adalah ekoran penghakiman yang dibuat oleh Hakim Datuk VT Singham di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin berhubung kes Anwar Ibrahim melawan Utusan Melayu. Bukan tujuan saya mahu mengulas mengenai kes itu dan keputusannya.
Namun, saya merasakan penghakiman yang dibaca oleh hakim itu relevan dalam konteks cadangan penubuhan Majlis Media di Malaysia.
Singham berkata, untuk menyelesaikan masalah kes saman seumpama itu, beliau mencadangkan satu badan pemantau ditubuhkan bagi membenarkan orang ramai membuat aduan ke atas media dan menguruskan perdamaian ke atas kedua-dua pihak.
Itulah yang seharusnya ada dan yang akan dilakukan oleh Majlis Media. Tugas Majlis Media adalah untuk menerima aduan orang ramai dan menyelesaikannya dengan industri media itu sendiri.
Majlis Media itu akan bertindak sebagai badan penimbang tara (arbitrator) yang diberi kuasa untuk menyelidiki fakta dan memutuskan hukuman melalui satu tribunal yang ditubuhkan.
Tribunal itu harus diberi kuasa penuh untuk mendengar kes daripada kedua-dua pihak dalam satu suasana lebih kondusif dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana tekanan. Kuasa itu amat penting bagi memastikan ia tidak hanya bertindak sebagai peti sejuk sahaja.
Badan penimbang tara dan tribunal ini amat signifikan kerana ia amat memahami mengenai proses pemberitaan kewartawanan, berbanding diserahkan bulat-bulat kepada hakim di mahkamah terbuka.
Hanya selepas itu jika mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan tribunal itu, maka kes itu boleh dibawa ke mahkamah awam untuk dibicarakan.
Kita berharap kertas cadangan penubuhan majlis itu yang berada di pejabat Peguam Negara (baca berita: Penubuhan Majlis Media sedang diperinci) dapat diperhalusi lagi supaya mencakupi soal kuasa tersebut.
Tugas itu kini dilakukan sepenuhnya oleh mahkamah. Ini menyebabkan pihak media yang dihadapkan ke mahkamah merasakan seolah-olah ‘sudah bersalah’ walaupun kes belum berjalan lagi.
Menjadi harapan dengan kuasa yang diberikan kepada majlis itu, tiada lagi ada pihak-pihak tertentu secara sembrono menggunakan platform mahkamah untuk menyaman media atas nama atau suasana politik dengan tuntutan-tuntutan mega yang tidak masuk akal.
Difahamkan tuntutan saman yang dikenakan ke atas pihak media di negara ini kini telah mencecah angka bilion ringgit.
Sudah menjadi trend atau perangai bagi kebanyakan orang politik mutakhir ini, terutamanya pihak pembangkang, menggunakan mahkamah untuk menyaman media, yang tujuan utamanya mahu menjejaskan imej dan kewibawaan organisasi media yang dikehendaki itu, lebih daripada mahu menyatakan kebenaran dan keadilan.
Bagi plaintif yang menyaman itu, untung sabut timbul, mereka akan menang dengan tuntutan-tuntutan yang besar, dan jika kalah mereka masih lagi boleh tersenyum dengan hanya membayar kos yang kecil. Mereka kemudian berjalan lalu, tanpa ada rasa bersalah.




Orang bisnes tabik polis

Zulkifli Jalil
DATUK Ahmad Faris Abdul Halim, 49, seorang ahli perniagaan masih ingat lagi insiden 28 April tahun lepas apabila ibu negara ‘dihenyak’ perhimpunan Bersih 3.0.
Semasa itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan Consulting Sdn, Bhd., firma pembekal peralatan pertahanan, keselamatan dan komunikasi itu menerima panggilan bertalu-talu daripada rakan kongsi niaganya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Itali dan Perancis.
Mereka bertanyakan apa yang terjadi sebenarnya di Malaysia. Ahmad Faris dalam menjawab satu persatu panggilan tersebut, rumusan pengakhiran perbualan tetap sama - menjawab: ‘‘...tapi saya yakin situasi ini hanya seketika."
Ini kerana dalam hati beliau cukup yakin dengan kewibawaan pihak polis mengendalikan insiden di luar jangka itu. Dan apabila Himpunan Shamsidar berulang 12 Januari baru-baru ini, sekali lagi beliau mendapat panggilan daripada rakan-rakan kongsi multinasional yang sama.
Dengan kesimpulan yang sama, Ahmad Faris tetap menaruh kepercayaan yang tinggi kepada pihak polis, mampu menangani insiden kali ini dalam keadaan cukup bersedia.
Meskipun tanpa tembakan meriam air, kelibat FRU dan lontaran bom asap, di sebalik ketenangan pihak polis mengharungi penyokong dan pengikut pembangkang, kata beliau, ucapan tahniah sewajarnya diberi kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Kedua-dua individu itu, yang dibantu anak-anak buah mereka berupaya mengendalikan keadaan mendesak itu.
“Ramai kalangan kita barangkali tidak sedar bagaimana anggota-anggota polis terpaksa tinggalkan anak isteri, tak tentu makan minumnya... dan sudah terpacak di ibu negara waktu dini hari dan subuh-subuh lagi untuk mendepani himpunan 12 Januari itu.
“Padahal tugas hakiki mereka adalah mencegah jenayah," kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Ahmad Faris menarik perhatian, rakan-rakan kongsi niaganya daripada Eropah sedar Malaysia kekurangan anggota polis untuk memenuhi kehendak masyarakat yang mendesak. Dengan kekuatan kira-kira 100,000 anggota, nisbah anggota kepada penduduk di negara ini adalah 1 untuk 500.
Keadaan ini menjadikan beban tanggungjawab polis tinggi. Apatah lagi, nisbah polis dengan penduduk yang diperakukan Interpol ialah seorang polis bagi setiap 250 penduduk. Dan kedudukan tersebut masih jauh bagi Malaysia mencapainya.
Pembangunan pesat Malaysia menuntut pertambahan tugas dan jumlah anggota polis bagi menjaga keamanan serta keselamatan negara, selain usaha memantapkan lagi pasukan keselamatan. Tambahan lagi, polis sekarang dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah selain mewujudkan suasana keberadaan pihak polis di satu-satu tempat termasuk di pusat beli-belah dan kawasan yang berisiko.
“Daripada perbualan dengan beberapa kenalan daripada kalangan anggota dan pegawai polis, saya bukan sahaja dimaklumkan mengenai senario yang dialami pihak polis, tetapi apa yang saya lihat memang itulah yang berlaku. Sebagai contoh, pembangunan di Petaling Jaya sahaja telah menghasilkan kawasan pentabdiran daerah yang semakin luas dan memerlukan anggota lebih ramai.
“Apa lagi kalau di Kuala Lumpur pula, populasinya kira-kira tiga hingga empat juta orang, jadi berapa ramai pula anggota polis kita perlukan," katanya.
Bagi Ahmad Faris, orang bisnes sepertinya, malah ahli perniagaan lain pun amat sukakan negara ini. Di Malaysia, kata rakan kongsi beliau, polisnya berjaya ‘ugut’ pengganas daripada membuat kacau. Namun, Ahmad Faris percaya, tidak ramai menyedarinya kerana ‘Special Branch’ takkan mahu menguar-uarkan.
“Kita bersyukur kerana tidak seperti negara-negara tetangga yang bingit dengan insiden keganasan global. Di sini, kita masih boleh berjalan-jalan di kaki lima di ibu negara. Tetapi di negara mereka...pukul 8 malam, sudah dihantui kebimbangan," katanya.
Kata beliau lagi: “Sebagai ahli perniagaan, saya juga tidak akan selesa dengan sebarang insiden huru-hara yang boleh menggugat keamanan negara kita ini.
“Oleh itu sudah seharusnya kita menghargai kerja kuat dan usaha gigih Ketua Polis Negara yang bertungkus-lumus memastikan keamanan negara terus terpelihara."
Kejayaan besar Ketua Polis Negara mengamankan negara, selain pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) - layak mendapat pengiktirafan seluruh rakyat. Ini termasuklah berjaya mendidik peserta himpunan pembangkang tempoh hari untuk mematuhi undang-undang.
Hal ini sekali gus membuktikan transformasi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan Akta Perhimpunan Awam mampu mendisiplinkan rakyat. Lebih-lebih lagi untuk melupakan terus ‘upacara’ demonstrasi haram.
Ahmad Faris sempat menyampaikan salam rakan-rakan kongsi niaga beliau kepada pihak polis negara ini - yang menurut beliau, mereka cukup yakin dengan kewibawaan pihak berkuasa itu.
Tabik polis daripada kami orang bisnes, katanya.

Mahu berdebat atau berbohong?

SEORANG rakan wartawan sekadar menggelengkan kepala apabila kami bercakap mengenai hasrat pembangkang mengajak Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk berdebat - suatu yang dianggapnya melucukan.
Melucukan kerana pemimpin yang diangkat untuk berdebat adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - pemimpin yang acapkali dimalukan oleh Zambry dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Rakan-rakan pemberita sudah biasa melihat bagaimana Mohammad Nizar umpama mengesat ludah di muka sendiri apabila satu persatu dakwaan atau tohmahannya dibongkar dalam sidang DUN Perak.
Misalnya, tindakan Mohammad Nizar bermati-matian membantah projek hab bijih besi Vale di Lumut memakan diri apabila Zambry terpaksa mendedahkan dokumen yang menunjukkan pemimpin Pas itu menandatangani surat menyokong projek tersebut ketika menjadi Menteri Besar.
Lebih memalukan apabila di dewan mulia tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu mengaku menandatangani surat tersebut - tindakan yang memalit malu bukan kepalang di muka barisan pemimpin pembangkang.
Tidak lupa juga peristiwa ketika Mohammad Nizar menuduh Zambry melakukan syirik dalam isu ancak sekitar tahun 2010 apabila beliau dikecam bertalu-talu selepas dikatakan berbohong apabila mendakwa kononnya Jawatankuasa Fatwa memutuskan Zambry melakukan perbuatan khurafat.
Semuanya terbongkar apabila jawatankuasa itu yang bermesyuarat pada Januari 2011 memutuskan apa yang dilakukan oleh Zambry bukan khurafat.
Penulis sendiri masih ingat dalam sidang DUN bulan lalu bagaimana Mohammad Nizar terkedu ketika Zambry menasihatkannya supaya berhenti berbohong apabila pemimpin itu mendakwa Zambry menawarkannya jawatan Menteri Besar jika menyertai UMNO selepas pembangkang menang PRU-12.
''Mengucap panjang-panjang. Didiklah hati, orang tua-tua kata jagalah hati budi. Apa sudah jadi dengan Pasir Panjang? Tidak rasa berdosakah? Betapa besarnya dosa orang memfitnah," kata Zambry yang ketika itu membuat Mohammad Nizar terdiam.
Realitinya, pemimpin Pas itu tidak pernah 'diam' dalam menyerang kepimpinan kerajaan dengan tohmahan. Peristiwa-peristiwa di atas hanya secebis misalan yang menggambarkan sikap Mohammad Nizar sebagai seorang politikus.
Rakyat tidak mungkin lupa bagaimana Mohammad Nizar pernah menyatakan kononnya beliau mendengar khabar kononnya Perdana Menteri ada memanggil semua kepimpinan angkatan tentera dan bertanya adakah mereka akan berbuat sesuatu jika BN tumbang.
Tidak cukup dengan itu, pemimpin Pas itu mendakwa kononnya ketua-ketua pasukan tentera berkata akan bersama-sama dengan rakyat sekiranya BN tumbang sehingga menyebabkan muka Perdana Menteri menjadi pucat lesi.
Namun, apabila dakwaan itu dinafikan dengan keras pemimpin-pemimpin tentera yang turut mendesaknya menampilkan bukti, Mohammad Nizar hanya selamba berkata ia hanya khabar yang didengarnya, terserah kepada kerajaan untuk memberi penjelasan.
Wah, mudahnya pembangkang berpolitik. Mereka boleh bercakap apa sahaja, fakta bukan menjadi soal kerana lebih penting bagi mereka rakyat mesti berdendam, marah dan benci kepada kerajaan. Itu sahaja.
Begitu juga apabila Mohammad Nizar mengemukakan satu memo yang kononnya bukti bahawa kerajaan menerima RM207 bilion daripada kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada rakyat Malaysia yang menjadi buruh paksa dalam pembinaan kereta api Siam-Burma semasa Perang Dunia Kedua.
Apabila pihak kedutaan Jepun menafikan pernah memberi pampasan sebanyak itu, Mohammad Nizar pula mahu meminta penjelasan daripada Kementerian Kewangan yang awal-awal lagi sudah menegaskan bahawa memorandum itu adalah palsu. Jadi, penjelasan bagaimana yang beliau mahukan?
Menyelak semua peristiwa di atas, rakyat Perak khususnya tentu tertanya-tanya, apa perlunya pembangkang mengajak Zambry berdebat jika pemimpin mereka sendiri tidak pernah cuba untuk bercakap sesuatu yang berpaut kepada fakta?
Jangan pula marah jika rakyat berasa sangsi dan bertanya sama ada pentas itu mahu dijadikan wadah berdebat atau berbohong?
Difahamkan, debat tersebut akan diadakan hari ini. Mungkin lebih elok jika pembangkang memanfaatkan pentas debat itu untuk menjernihkan segala keraguan tentang isu-isu yang membayangi kepimpinan pembangkang di Perak.
Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham misalnya mungkin boleh menjadikan pentas itu untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana beliau boleh terlibat dalam sebuah syarikat yang mendapat projek pembalakan berjuta ringgit di Kelantan.
Rakyat tentu mahukan penjelasan kerana maklum sahajalah, pembangkang selalu berdegar-degar mengatakan mereka berjuang atas penderitaan rakyat sehingga terpaksa memerah duit rakyat di pentas-pentas ceramah.
Lagi pula, tentunya pelik apabila pembangkang memaksa Zambry untuk mengupas isu-isu tersebut di pentas debat sedangkan orang yang memikul beban menjawab segala keraguan itu sepatutnya ialah Koo Ham dan Kor Ming sendiri.


Pengurusan keselamatan nasional Malaysia

TANGGUNGJAWAB utama pemerintahan di negara membangun, termasuk di Malaysia, adalah menguruskan keselamatan nasionalnya secara cekap dan berkesan supaya negara bebas daripada sengketa dalaman dan tidak digugat anasir-anasir luaran atau kuasa-kuasa asing.
Ini kerana pengurusan keselamatan nasional adalah pengurusan keterdedahan, ancaman, risiko dan cabaran yang menggugat negara di hari muka (Hough 2004) berdasarkan persepsi ancaman yang diputuskan oleh elit pemerintah sesuai dengan kepentingan rakyatnya.
Matlamat prima pengurusan keselamatan nasional adalah memelihara nilai-nilai teras dan kelangsungan negara, termasuk mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan integriti tanah air, serta keunggulan institusi awam dan ideologi nasionalnya.
Di negara majmuk seperti Malaysia, nilai-nilai teras yang turut diutamakan termasuklah ketahanan nasional, perpaduan rakyat, keharmonian beragama, kesaksamaan dalam pembahagian kekayaan ekonomi, dan keseimbangan di dalam pembangunan wilayahnya.
Fokus terhadap nilai-nilai teras ini terkandung dalam kajian keselamatan nasional di negara-negara membangun termasuk oleh Abdul Monem Al-Mashat (1985), Edward Azar & Chung-in Moon (1988), R.D. McLaurin (1988), Mohammed Ayoob & Chai-Anan Samudavanija (1989), Barry Buzan (1991).
Antara karya sarjana keselamatan Malaysia yang turut menumpu kepada pemeliharaan nilai-nilai teras nasional, termasuklah oleh Muthiah Alagappa (1987), Noraini Abdullah (1989), K. S. Nathan (1998), Sity Daud & Zarina Othman (2005), Ruhanas Harun (2009) dan Kamarulnizam Abdullah (2012).
Huraian di atas menunjukkan bahawa apabila sesebuah pemerintahan, termasuk di Malaysia menitikberatkan aspek keselamatan nasional demi masa depan bersama, keprihatinan ini adalah dilandasi oleh tanggungjawab mereka memelihara masa depan negara dan rakyat jelatanya.
Tanggungjawab ini menyebabkan seseorang perdana menteri atau presiden menjadi ketua eksekutif dasar keselamatan nasional (Lobell 2009). Disebabkan keselamatan nasional juga membabitkan ancaman luaran, perdana menteri atau presiden juga menjadi ketua eksekutif dasar luar (Hill 2003; Lobell 2009).
Memang terdapat pihak yang menghujah adakah perdana menteri atau presiden memelihara keselamatan nasional demi kesejahteraan rakyatnya, atau untuk memelihara keselamatan rejim demi kepentingan partinya memerintah?
Hujah ini lazimnya disuarakan oleh kelompok politik alternatif di sesebuah negara yang membantah pelaksanaan sesuatu undang-undang keselamatan kononnya kerana undang-undang tersebut dibentuk untuk menghapuskan pengaruh pembangkang.
Beberapa pengkaji keselamatan di negara membangun yang menyedari dakyah seperti ini, termasuk Kamarulnizam (2012), menegaskan bahawa pemeliharaan keselamatan nasional di negara membangun tidak boleh disinonimkan dengan negara maju.
Faktor utama yang membezakan kaedah dan pekenanan dasar keselamatan nasional di negara maju dan negara membangun adalah corak nilai-nilai terasnya. Hakikat ini jadi lebih rumit di negara yang majmuk.
Ini kerana majoriti negara majmuk seperti Malaysia adalah negara yang pernah dijajah kuasa Barat, dan kemerdekaan pula menyebabkan mereka menjadi negara berbilang bangsa dan pelbagai agama.
Sesebuah negara-bangsa seperti Jepun atau Jerman, dibangunkan atas aspirasi rakyatnya yang satu bangsa, sama sosio-budaya, tidak berbeza asas ekonominya. Namun negara majmuk perlu dibangunkan berasaskan aspirasi yang dimandatkan oleh majoriti rakyat kepada pemerintahnya.
Dalam konteks ini, keselamatan pemerintah menjadi antara nilai-nilai teras nasional. Ini kerana pemeliharaan keselamatan rejim adalah perlu untuk menjamin kemantapan pemerintahan sebagai pelaksana dasar pembinaan negara.
Ini kerana sesebuah pemerintahan yang lemah akan menghasilkan negara yang lemah, rapuh atau gagal. Pemerintahan yang lemah tidak terdaya untuk mengabadikan sumber-sumber ekonomi dan iltizam politiknya bagi pembinaan negara yang kukuh (Buzan 1991).
Lantas negara majmuk lazimnya memaktubkan tatacara nasional ke dalam perlembagaannya. Perlembagaan Malaysia, mempunyai tatacara rakyat, khususnya mengenai kewarganegaraan bukan Melayu serta definisi Melayu; tatacara ekonomi, terutamanya mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera; dan tatacara keselamatan seperti di dalam Perkara 149.
Seluruh tatacara dalam Perlembagaan Malaysia ini bersifat struktural - dimaktubkan atas permuafakatan seluruh pihak yang merdekakan negara ini, Melayu, Cina dan India - atas persetujuan penjajah Inggeris dan restu Raja-Raja Melayu.
Oleh itu, kesinambungan pemerintahan juga menjadi faktor penting kepada pengurusan keselamatan nasional Malaysia, terutama sekali untuk membolehkan pemerintahan ini memelihara peruntukan-peruntukan struktural dalam Perlembagaan.
Kesinambungan ini juga penting kerana seluruh parti alternatif yang berusaha keras untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) mutakhir ini adalah pihak yang tidak terlibat dalam pembentukan Perlembagaan dan kemerdekaan negara.
Pas selaku parti tertua dalam barisan alternatif adalah parti yang tidak mengemukakan sebarang cadangan kepada Suruhanjaya Reid yang membentuk Perlembagaan negara. (Rujuk Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957).
Oleh sebab itu, hingga ke hari ini pun Pas tidak mengiktiraf bahawa seruan azan oleh Tan Sri Hassan Azhari menggemakan Stadium Merdeka setelah doa kemerdekaan dibaca dan sebelum Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957 (mrkumai.blogspot.com, 1 Oktober 2011).
DAP pula adalah parti yang melanjutkan perjuangan PAP yang ketika Singapura berada dalam Malaysia, mempertikaikan pelbagai peruntukan struktural dalam Perlembagaan negara menerusi propaganda Malaysia Malaysia (Rujuk The Setapak Declaration 1967; Comber 1983; Vasil 1984; Tunku Abdul Rahman Putra 1987).
Dengan ini, wajar kita bertindak rasional dan berhati-hati sebelum membuat keputusan mengenai corak pemerintahan Malaysia di hari muka kerana tanggungjawab utama pemerintahan di Malaysia adalah memelihara keselamatan nasional, bukan menjadikan Malaysia negara lemah, rapuh atau negara gagal.


Penyatuan umat Islam Asia Tenggara

Peserta mendengar pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh ilmuwan pada Seminar Nusantara Islam: Di Asia Tenggara - Cabaran Dan Harapan di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/Izham Jaafar
MALAYSIA sering menjadi penggerak utama dalam memainkan peranan sebagai sebuah negara Islam di Asia Tenggara mahupun di peringkat dunia. Negara ini dilihat paling berjaya dalam membangunkan masyarakatnya melalui penghayatan dan aplikasi ajaran Islam secara sederhana.
Ini termasuk membangunkan asas-asas ekonomi, sosial dan agama secara adil dan saksama walaupun dalam suasana kemajmukan rakyatnya.
Dengan kelebihan ini, Malaysia turut menjadi tempat rujukan masyarakat Islam minoriti khususnya di rantau Asia Tenggara jika wujud sebarang isu dan konflik yang timbul dalam menghadapi cabaran di negara mereka.
Fakta itu diakui oleh masyarakat Islam Kemboja melalui Ahli Parlimennya, Zakaryya Adam yang menyatakan Malaysia adalah model terbaik yang boleh dicontohi kerana berjaya mengembangkan sistem ekonomi Islam sehingga diakui di serata dunia.
Namun, mutakhir ini, hak dan kepentingan Islam cuba diganggu-gugat dan dicabar oleh masyarakat bukan Islam yang perlu ditangani secara bijak. Bukan itu sahaja, pelbagai cabaran lain membabitkan persoalan hidup turut melingkari masyarakat minoriti Islam dalam bidang ekonomi, politik, budaya dan agama.
Justeru, kekuatan antara umat Islam serantau perlu dibina untuk mencari kesatuan dalam kalangan umat Melayu Islam agar agama suci ini dilihat sebagai agama yang mencintai kedamaian bukannya keganasan.
Dalam usaha memainkan peranan itu, satu Seminar Nusantara: Islam di Asia Tenggara - Cabaran dan harapan dianjurkan bagi membentuk kesatuan pemikiran melalui pendekatan wasatiyyah dalam kalangan masyarakat Islam agar dapat berperanan baik di negara masing-masing.
Seminar yang dianjurkan tiga hari yang berakhir kelmarin itu mengumpulkan tokoh ilmuwan dan pemimpin Islam serantau bagi menggembleng tindakan bersama terhadap isu-isu yang mendepani kedudukan mereka.
Dengan menampilkan lapan ilmuwan Islam yang membentangkan kertas kerja masing-masing, seminar yang merupakan cetusan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berjaya mencapai kata sepakat untuk tindakan pemimpin-pemimpin umat Islam Nusantara serta masyarakat Melayu Islam keseluruhannya.
Kejayaan umat Islam tidak mungkin akan dicapai tanpa perpaduan kukuh sebagai teras dalam membina kekuatan sesama umat Melayu Islam melalui tiga mekanisme penting iaitu sejarah bangsa, agama Islam dan bahasa Melayu.
Antara pembentang yang menarik perhatian ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; Timbalan Rektor Universiti Islam Yala, Thailand, Dr. Ahmad Omar Chapakia; Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim dan Profesor Pelawat Kolej Kerajaan Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM Colgis), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.
Turut serta, Pengkaji Islam di Myanmar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Mohiyuddin Mohd. Sulaiman; Pensyarah Universiti Kebangsaan Singapura, Prof. Muhammad Hussin Mutalib; Imam Besar Masjid Istiqlal, Indonesia, Prof. Dr. Ali Mustafa Yakub dan Ahli Parlimen Kemboja, Zakryya Adam.
Tokoh-tokoh dan ilmuwan Islam itu membincangkan cabaran dan harapan serta kebangkitan umat Islam di negara masing-masing termasuk pembangunan sosio ekonomi masyarakat minoriti Islam di sana.
Dalam resolusi yang dicapai pada seminar yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, mereka bersepakat bahawa sejarah tamadun Melayu Islam negara-negara Asia Tenggara perlu diangkat semula untuk disebarkan dalam pendekatan yang menjurus kepada pembinaan perpaduan umat tanpa merosakkan hubungan antara negara serantau sedia ada.
Pengalaman sejarah yang menampilkan elemen wasatiyyah, hikmah dan toleransi harus menjadi asas usaha pembugaran sejarah itu dalam semangat kebersamaan serumpun dalam kalangan umat Melayu Islam Nusantara.
Persamaan akidah Islamiah mampu menjadi elemen penyatuan yang kuat maka ia harus diperkasakan dalam aspek kehidupan sambil memelihara Maqasid al-Syariah yang berteraskan kesederhanaan dan keseimbangan melalui kesepakatan untuk membanteras penyebaran virus liberalisme dan pluralisme yang kian menjadi ancaman kepada kesucian akidah dengan cara berdiskusi dan wacana berterusan yang memberi kefahaman kepada umat Islam serantau.
Pemikiran satu umat (wahdatul fikr) berasaskan akidah Islamiah yang luhur perlu diterapkan demi perpaduan serumpun berpaksikan pendekatan ahli sunnah wal jamaah sekali gus menolak mana-mana pendekatan yang terlalu rigid atau longgar.
Menyedari persamaan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi dan penyatuan hubungan kerjasama yang erat sejak dahulu hingga kini, maka keunggulan bahasa itu perlu dimartabatkan dengan mengukuhkan aspek penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan, keilmuwan dan perdagangan di rantau Nusantara.
Maka, aspek pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan minoriti Melayu Islam perlu diperkasakan dengan menyediakan prasarana pendidikan dan latihan yang mencukupi di samping menganjurkan wacana dan penerbitan serantau bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.
Sebagai tindakan segera selepas seminar yang dianjurkan Persatuan Generasi Bestari dan MyKMU.net itu, Malaysia bersedia menubuhkan sekretariat Kerjasama Nusantara (Sutera) sebagai platform membincangkan isu-isu dalam pelbagai bidang sekali gus mencari penyelesaian strategikmeliputi komuniti umat Melayu Islam Asia Tenggara.
Mengumumkan perkara itu semasa penutupan seminar tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sekretariat itu akan dikendalikan oleh Institut Wasatiyah Negara yang diketuai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Md. Zin bersama Persatuan Generasi Bestari.
Katanya, Sutera akan menjadi pusat sehenti pembinaan jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran serta ilmu di antara komuniti Melayu-Islam Nusantara dalam pelbagai bidang strategik yang dikenal pasti.
''Sutera akan mengenal pasti, mencadang dan memantau tindakan-tindakan strategik yang boleh dilaksanakan oleh institusi swasta dan kerajaan negara-negara terbabit demi kemaslahatan umat Melayu Islam Nusantara," katanya.
Selain sekretariat itu, Malaysia juga akan berusaha menjadi peneraju atau fasilitator dunia Melayu Islam Nusantara dalam konteks membina jaringan dan kerjasama serantau dalam bidang keilmuan dan pendidikan latihan, ekonomi dan perniagaan, politik dan pentadbiran serta budaya dan kemasyarakatan.
Umat Islam serantau juga perlu dibantu untuk menghadapi cabaran di negara mereka dalam kerangka diplomatik, wasatiyyah dan hubungan semangat ASEAN yang harmoni demi kebaikan bersama.



Dilema isu kalimah Allah kepada ahli Pas

SEKURANG-KURANGNYA dua orang yang telah mengisytihar dan membuat seruan agar isu kalimah Allah ditamatkan perdebatannya. Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam satu kenyataannya memberitahu dengan resolusi Majlis Syura Ulama Pas yang terbaru, maka isu itu telah berakhir dengan rasminya.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula melalui kenyataan akhbar Presidennya, Amidi Adnan meminta kesemua pihak menghormati keputusan Majlis Syura Pas.
Malah beliau menggunakan istilah 'gencatan' dalam kenyataannya bagi menggambarkan isu ini seakan-akan perang antara kumpulan pro-Pas dan pro-kerajaan.
Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR sebaliknya menyatakan bahawa PKR menghormati keputusan Majlis Syura namun keputusan itu hanya berlaku untuk Pas. Keputusan asal Pakatan Rakyat masih kekal, iaitu membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam, termasuklah untuk versi cetakan kitab agamanya.
Jika saya seorang ahli Pas, saya pasti akan mengalami kompleks hala tuju politik yang amat pelik dan kontradik di tahap maksimum. Dalam parti, saya diminta mendokong bahawa penggunaan kalimah oleh bukan Islam tidak dibolehkan. Sekiranya saya berbuat sebaliknya, saya boleh dianggap mencemarkan akidah saya sendiri, sesuatu yang menjadi sebahagian akar perjuangan saya dalam parti.
Sementara di peringkat nasional, di mana saya diikat dan tunduk kepada konsensus yang lebih besar, saya dikehendaki tunduk dan bersetuju bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam.
Implikasinya boleh membawa makna kitab-kitab agama Kristian boleh dicetak dalam bahasa Melayu menggunakan nama Allah di dalamnya sebagai terjemahan God dan boleh disebarkan di negeri-negeri pakatan pembangkang termasuklah di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang ataupun seluruh Malaysia sekiranya pakatan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
Saya sebagai ahli Pas akan diingatkan bahawa di peringkat nasional juga, Presiden parti saya mewakili konsensus tiga parti yang telah pun bersetuju berkenaan penggunaannya. Sekalipun Pas mungkin menarik balik kebenaran awal yang diberi, namun dua parti lain nampaknya teguh dan tegap dengan pendirian sebelumnya.
Apakah selaku Muslim tradisional dan konservatif, yang merupakan ahli Pas seumur hidup, akidah saya adalah betul sebagai Islam di peringkat keahlian Pas sahaja, tetapi saya menjadi seorang murtad di peringkat nasional apabila turut bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam, jika mengikut tafsiran beberapa ulama tertentu.
Dengan demikian, cara penyelesaian oleh Pas dan pakatan pembangkang dalam isu kalimah Allah ini boleh dilihat dari banyak sudut. Dari sudut Pas, ia boleh dibaca sebagai Pas dilihat mengambil mudah isu yang mengancam akidah umat Islam. Adakah isu yang begitu besar dan signifikan akan ditamatkan dengan keputusan Mursyidul Amnya. Mungkin ia mudah kepada politik Pas apabila isu ini nampaknya tidak menguntungkan mereka dari segi politik.
Namun, sesetengah pihak menganggap isu ini amat menguntungkan DAP. Melaluinya, DAP yakin sekiranya pakatan pembangkang menang, mereka akan dapat mengawal Pas daripada menguasai kepimpinan politik tanah air sekiranya Pas mahu meletakkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri.
DAP berjaya mendedahkan bahawa Pas sebuah parti yang tidak berupaya menjadi parti yang boleh menjaga kepentingan warga Malaysia pelbagai kaum. Banyak pihak dalam pakatan bimbang sekiranya Pas menjadikan model Mesir sebagai modus operandinya selepas pilihan raya akan datang.
Ikhwanul Muslimin mempergunakan parti-parti sekular dan Kristian untuk mendapat kuasa dan memungkiri janji mereka apabila Mohammad Morsi berjaya dilantik menjadi Presiden. Ini yang ditakuti oleh DAP.
Sekiranya saya seorang pro-kerajaan dan ahli UMNO pula, saya tidak akan cepat-cepat menerima 'gencatan mulut' (bukan senjata) yang disyorkan oleh ABIM itu. Saya boleh menerimanya secara bersyarat disebabkan 'dosa' Pas dalam isu kalimah Allah bukan boleh untuk dibersihkan dengan mudah. Ia telah menjatuhkan maruah semua orang Islam di Malaysia, bukan ahli Pas sahaja.
Sebagai ahli UMNO, saya akan memberikan dua syarat utama sebagai janji penyelesaian kepada isu ini. Pertama, saya akan meminta Pas menyelesaikan isu akidah ahli-ahlinya dahulu di peringkat parti dan di peringkat gabungan pakatan pembangkang. Ini bermakna Presiden Pas harus memilih untuk mengisytiharkan bahawa Pas bermufarakah dengan pakatan pembangkang dan mengisytiharkan bahawa Allah hanya untuk orang Islam. Ini bermakna Pas hanya bersetuju dalam perkara lain dalam gabungan, bukannya dalam isu 'menggadai' akidah umat Islam.
Kedua, saya akan meminta Presiden Pas dan Mursyidul Amnya menghentikan dan menarik balik serta-merta tuduhan-tuduhan serta kata-kata yang membawa makna UMNO sebagai kafir, taghut dan sebagainya tanpa berselindung di sebalik mainan kata-kata yang akhirnya membawa makna yang sama.
Keikhlasan yang kedua itu dituntut supaya mereka, menjelang pilihan raya tidak lagi mengungkit soal akidah orang UMNO sebagai bahan untuk memancing undi . UMNO tidak akan mendapat sebarang untung daripada perisytiharan berkenaan, melainkan agama Islam akan terbela daripada kumpulan orang yang menjual agama untuk dana dan undi pilihan raya.
Sekiranya saya sebagai orang UMNO, mendapati Pas masih berdegil tidak berganjak daripada tuntutan yang dibuat, saya cadangkan isu ini diteruskan dengan ingatan, bahawa orang Pas keseluruhannya boleh diragui akidahnya di peringkat gabungan pakatan pembangkang kerana mereka yang diwakili oleh Presiden Pas terus bersetuju dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu.
Dengan itu, perjuangan UMNO amat penting dalam usaha menjaga kemurnian akidah umat Islam daripada digadai oleh pihak yang bertopengkan Islam.



Relevankah undi pembangkang di Negeri Sembilan?

JIKA fail lama dibuka, entah berbakul agaknya janji pembangkang yang tidak ditunaikan di Negeri Sembilan ini.
Jangan pergi jauh, lihat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Sikamat dan Paroi, di mana dua kerusi itu kini dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu Pas.
Mana pembangunan yang dijanjikan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, sedangkan hasil pembangunan yang ada pada hari ini khususnya di tiga kawasan itu adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) keseluruhannya.
Hari ini mereka berjanji lagi dan kali ini dalam poster yang dipasang merata-rata di kawasan Seremban, tanpa diletakkan gambar pemimpin DAP. Mereka menjanjikan pendidikan percuma, hapuskan tol, wifi percuma, elaun datuk adat RM1,000, imbuhan guru RM500 sebulan, harga kereta lebih murah, lebih banyak subsidi kepada rakyat dan banyak lagi.
Siapa lagi di kalangan rakyat negeri ini yang cuba mereka bohongi. Harga kereta murah, sekarang pun sudah ada yang murah dan mampu dimiliki rakyat. Isu datuk adat, berapa ramai datuk adat yang ada dalam Negeri Sembilan ini, yang hendak diheret dalam janji terbaru ini?
Jangan memperbodohkan rakyat Negeri Sembilan terhadap pemberian wifi percuma ini, kerana sudah banyak kawasan awam di negeri ini menyediakan perkhidmatan sedemikian. Kalau susah sangat, di kedai mamak pun ada perkhidmatan wifi percuma dan rakyat boleh buka laptop dan nombor pin sudah tertera pada dinding kedai makan.
Cuba lihat pula soal pemberian subsidi kepada rakyat dan berapa banyak yang mereka berikan kepada rakyat Negeri Sembilan ini?
Rakyat hari ini bijak, intelektual, cerdik dan ilmuwan, maka isu subsidi ini mereka lebih maklum yang banyak menunaikan janji dalam hal ini ialah kerajaan BN.
Perhatikan pula apa yang berlaku dalam DAP. Jangan fikir parti ini senyap sebenarnya mereka lebih agresif berbanding PKR dan Pas. Ini kerana tunggak sebenar dalam pakatan pembangkang ialah DAP.
Mereka cuba menafikan sentimen anti-Melayu dan anti-Islam. Mereka melaungkan prinsip CAT (Compentency, Accountability, Transperancy) atau Cekap, Akauntabiliti, Telus dalam semua hal.
Malang sekali, cakap mereka tidak seperti yang diamalkan. Mana ada CAT dalam DAP. Buktinya, pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti DAP, pada 16 Disember lalu sehingga memaksa ahli akar umbi khususnya di Negeri Sembilan ini bangkit menentang.
Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass berkata: "Lain kali jangan sibuk bercakap tentang perhimpunan Bersih atau memperjuangkan ketelusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sedangkan tiada ketelusan dalam pemilihan parti DAP sendiri."
Ini soal maruah parti, DAP semakin kalut. Pergolakan dalaman DAP sebenarnya membusung dan di Negeri Sembilan ini, banyak kelompok di mana satu pihak menyokong 'orang lama' seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan satu pihak lagi merupakan penyokong kepada 'tsunami Ramasamy' iaitu Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy.
DAP jangan cepat melenting dalam perkara ini, akur cakap akar umbi supaya diadakan semula pemilihan parti itu dan nafikan keputusan yang dibuat pada 16 Disember lalu.
Pernah seorang pemimpin DAP berkata, parti itu bertunjangkan ideologi sosial demokrasi, di mana membawa maksud memperjuangkan keadilan sosial, kesamarataan peluang, kebebasan dan solidariti. Maka dalam konteks ini, bersihkanlah dahulu dalaman parti, sebelum bercakap soal yang lebih besar iaitu demokrasi rakyat.
Satu lagi mesej yang menarik oleh David Dass, ''Jika mereka (pemimpin tertinggi) tidak mampu memberikan ketelusan dan keadilan dalam parti, bagaimana ia hendak diberikan kepada rakyat dan masyarakat negara ini."
DAP harus ingat, jangan lihat kehadiran dua orang akar umbi yang membuat sidang akhbar di sebuah kedai mamak yang ada wifi itu sebagai perkara kecil.
Kata David Dass, ''Jangan fikir kami kumpulan minoriti ini tidak mampu memberi respons, mungkin hari ini jumlahnya dua, tetapi saya percaya ia akan menjadi 20 seterusnya 200, kemudian 2,000 dan boleh jadi 200,000 yang tidak berpuas hati."
Cuba kita perhatikan pula janji pembangkang di Negeri Sembilan ini, untuk memberikan imbuhan kepada guru sebanyak RM500 sebulan. Cukuplah cubaan untuk mengelirukan rakyat, imbuhan ibu tunggal di Selangor pun belum dapat diselesaikan.
Pendek kata, apa yang berlaku dalam DAP, PKR dan Pas hari ini ialah mereka sebenarnya takut kepada slogan BN iaitu 'Janji Ditepati' kerana pembangkang banyak tidak dapat menunaikan janji mereka sejak dahulu lagi.
Perlu ditegaskan bahawa pembangkang juga tidak selamat di Negeri Sembilan ini. Jangan angkuh dengan kedudukan sedia ada dan berkempen di merata tempat, kononnya Negeri Sembilan ini akan dirampas.
Pembangkang terlupa, undi majoriti kecil di Bahau-DAP (837), Sikamat-PKR (499), Ampangan-PKR (165), Port Dickson-PKR (733) dan Repah-DAP (533) untuk kerusi DUN dan di kawasan Parlimen di bawah majoriti 5,000 undi iaitu di Telok Kemang (PKR) dan Seremban (DAP) boleh sahaja kembali menjadi milik BN pada pilihan raya akan datang.
Maka, rakyat perlu menilai kerana hari ini pembangkang sendiri pun tidak telus dalam perjuangan mereka dan ini diakui oleh ahli DAP dalam sidang media di Seremban dalam isu pemilihan 16 Disember lalu.
Jelaslah, kerajaan yang menepati janji tentulah BN dan jangan pula, selepas membaca tulisan ini, penggerak 'Gelombang Biru' terus dibuai mimpi kerana inilah titik untuk BN memastikan kawasan yang dinyatakan itu selain di Paroi-Pas (1,107) dan Rahang-DAP (1,091) kembali dirampas dalam pilihan raya umum kelak.
Bangun dan jangan tidur, masa semakin hampir. Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya kerana kealpaan BN di Negeri Sembilan ini boleh menjadi senjata kepada pembangkang untuk negeri yang menjadi sasaran mereka sejak keputusan pilihan raya umum 2008 lagi.



Di sebalik krisis di Mali, Algeria

Baru-baru ini, sebuah negara di utara Afrika, Mali sedang hebat dilanda krisis yang sangat serius. Kumpulan pemberontakan tempatan yang dikenali sebagai Tuareg yang dikatakan mempunyai hubungan secara tidak langsung dengan kumpulan pengganas antarabangsa, al-Qaeda, cuba untuk menguasai separuh daripada kawasan utara Mali.
Pada masa yang sama, keadaan politik dalam Mali menjadi semakin serius awal tahun ini apabila kumpulan Jihadis pula sedang cuba mengembangkan pengaruhnya ke selatan negara tersebut menghampiri ibu negara Mali, Bamako.
Sebagaimana yang sudah dijangka, krisis di Mali ini telah mengundang campur tangan asing. Perancis, selaku negara bekas penjajah Mali, mengambil tindakan campur tangan dengan 'kebenaran' oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan 'undangan' oleh kerajaan Mali.
Pada tanggal 11 Januari 2013, pesawat-pesawat pejuang Perancis telah memasuki ruang udara Mali dan bertindak mengebom kumpulan pemberontak Tuareg serta kubu-kubu mereka. Pada ketika ini, ibu negara Mali, Bamako kelihatan agak selamat.
Tetapi Perancis sebenarnya telah melakukan satu tindakan yang berisiko tinggi. Tiada sapa tahu apakah matlamat utama campur tangan Perancis di negara tersebut dan bagaimana tentera Perancis dapat keluar daripada Mali dengan selamat. Untuk perkembangan terkini, keadaan di Mali dikatakan agak positif apabila bandar Diabaly berjaya ditawan semula oleh tentera kerajaan Mali dengan bantuan tentera Perancis.
Pada masa yang sama, satu insiden lain juga telah berlaku di negara yang berjiran dengan Mali, Algeria. Kumpulan Jihadis telah melancarkan serangan terhadap kompleks pengeluaran minyak dan gas di In Amenas di kawasan negara tersebut. Seramai 41 orang pekerja telah dijadikan tebusan.
Perkembangan terbaharu, pasukan keselamatan Algeria menemui 25 mayat warga asing yang dijadikan tebusan di kompleks pemprosesan gas In Amenas, timur Algeria semalam. Bagaimanapun, jumlah sebenar kematian masih belum disahkan
Kumpulan penyerang tersebut telah menuntut pembebasan tiga anggotanya yang sedang ditahan di penjara Amerika Syarikat serta menuntut negara-negara kuasa Barat supaya menghentikan tindakan campur tangan mereka dalam krisis di Mali.
Sepintas lalu, kita mungkin mengatakan bahawa kedua-dua insiden ini berlaku secara kebetulan sahaja. Ini kerana konflik antarabangsa ialah sesuatu yang tidak boleh dijangka sama sekali. Ia boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Kadangkala konflik antarabangsa boleh berlaku tanpa sebarang amaran.
Biasanya konflik antarabangsa mempunyai bentuk kelakuannya masing-masing. Ini ialah pendapat umum. Pun begitu, kita tidak boleh mengetepikan sama sekali pendapat alternatif yang mengatakan bahawa konflik antarabangsa juga boleh dirancang secara sulit oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan di kawasan tersebut.
Krisis di Mali ini telah menimbulkan dua andaian penting untuk difikirkan bersama. Pertama, ia merupakan satu isyarat kepada bermula satu episod baru war on terror yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan sekutunya bakal memindahkan pusat aktiviti utama war on terror ini daripada benua Asia ke Afrika.
Beberapa tahun yang lalu, seorang penulis Amerika Syarikat, Princeton N. Lyman, menulis dalam artikelnya yang bertajuk 'The War on Terrorism in Africa' membincangkan mengenai sejarah dan perkembangan aktiviti terorisme global yang sedang pesat berkembang di benua Afrika seawal tahun 1990-an.
Kumpulan-kumpulan pengganas ini dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan al-Qaeda dan beberapa buah negara di kawasan utara Afrika telah dijadikan sebagai tempat memproses bahan untuk senjata kimia bagi kegunaan kumpulan al-Qaeda.
Media-media Barat juga turut memuatkan perkembangan kumpulan pemberontak, Tuareg yang sedang giat menuntut kemerdekaan di kawasan yang didiami mereka di utara Mali di beberapa buah negara di utara Afrika. Sementara baru-baru ini, Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa mereka bakal menamatkan misi pengaman yang sedang dijalankan di Afghanistan bersama-sama dengan negara-negara dalam Pakatan Atlantik Utara (NATO).
Andaian kedua, krisis di Mali ini mempunyai kaitan dengan faktor perkembangan kuasa dan pengaruh China di benua Afrika. Menurut seorang sarjana hubungan antarabangsa dari Zimbabwe, Dr. Knocks Tapiwa Zengeni, dalam kertas kerjanya yang bertajuk Sino-African Concerns: Emerging Concerns and Dynamics yang telah dibentangkan di The Fourth International Conference on International Studies (ICIS 2012) di Kuala Lumpur yang lalu, benua Afrika yang diketahui kaya dengan pelbagai sumber galian, mineral dan ekonomi kini sedang menjadi emerging battleground di antara dua buah negara kuasa besar dunia iaitu China dan Amerika Syarikat.
Inisiatif China di benua tersebut dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai satu bentuk ancaman kepada kepentingannya dan cubaan untuk mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat dalam dunia global termasuk di Afrika.
Pada ketika ini, China merupakan negara pedagang utama di Afrika. Dagangan luar China dengan negara-negara di benua tersebut dikatakan telah meningkat lebih 16 kali ganda antara tahun 2000 hingga 2011.
Pada tahun 2011, jumlah dagangan antara China dan negara-negara Afrika telah mencapai hampir AS$106 bilion, satu jumlah yang tidak mampu dicapai oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Baratnya.
Selain daripada itu, China juga dikatakan antara pengeksport utama senjata dan peralatan ketenteraan bagi negara-negara Afrika. Semua senjata keluaran China dikatakan dijual menerusi pasaran gelap kepada kumpulan-kumpulan pemberontak di beberapa negara di Afrika.
Ringkasnya, tujuan utama campur tangan Barat menerusi Perancis dalam krisis di Mali adalah sangat jelas iaitu untuk memelihara kepentingan negara-negara kuasa besar dunia di Afrika. Usaha untuk mengekang perkembangan terorisme global mungkin juga sangat penting.
Tetapi negara-negara kuasa besar dunia ini sebenarnya ingin melihat lebih daripada itu. Apa yang utama bagi mereka ialah kepentingan mereka di benua Afrika dan dunia global tidak boleh diancam oleh sesiapa sahaja.
Campur tangan Barat dalam krisis di Mali dan serangan kumpulan Jihadis di Algeria sebenarnya satu permulaaan kepada satu episod baru penguasaan negara-negara besar dunia di benua Afrika.
Mungkin kita akan dapat melihat sekali lagi satu proses scramble Africa yang pernah berlaku satu ketika dahulu dalam lipatan sejarah dunia, tetapi dalam bentuk baru dan penuh dramatik dan manipulasi.


Amanat Haji Hadi lawan Amanat Haji Wida'
PENULIS ialah Setiausaha 1 Ilmuan Malaysia (iLMU).
Ilmuanmalaysia.com
NABI Muhammad SAW saat di Padang Arafah telah memberikan kata-kata terakhir kepada para sahabatnya kerana Baginda mengerti ajalnya semakin dekat tatkala Allah SWT menyatakan bahawa Islam telah sempurna dan tiada lagi hukum yang akan diturunkan dari langit. Inilah amanat baginda yang terakhir kepada umat manusia.
Saat ini terlihat sebuah kemukjizatan Rasulullah SAW, suaranya jelas lagi terang pada setiap daun telinga para sahabat yang begitu ramai ibarat lautan. Syeikh Muhammad al Khudari menganggarkan sekitar 90,000 orang sahabat mendengarkan wasiat tersebut. Semuanya senyap tidak berkata dan sepi membungkam suasana, menumpukan perhatian kepada setiap butir bicara Nabi - yang bergema hanyalah satu suara yang menyampaikan sebuah amanat suci.
Pesan Nabi: "Aku tinggalkan dua perkara bagi kalian, jika kalian berpegang teguh dengan apa yang aku tinggalkan itu, maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya: Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya".
Perhatikanlah seluruh pemahaman yang melencong pasti muncul kerana mentafsir agama mengikut akal dan meninggalkan sunnah kehidupan baginda. Justeru, apabila muncul 'khilaf' yang disandarkan kepada agama, kewajipan umat Islam adalah merujuk kembali kepada hadis dan sunnah Rasul SAW.
Seterusnya Rasulullah SAW mengingatkan kepada manusia agar menjaga persatuan di bawah kepimpinan negara serta larangan menentang penguasa yang sah. Sabda Baginda: "Wahai seluruh manusia! Dengarlah dan taatlah kalian kepada pemimpin kalian, walaupun dipimpin oleh seorang hamba dari negeri Habsyah yang berhidung kemek, selama mana dia tetap menjalankan ajaran Kitabullah ke atas kalian."
Apakah yang kita akan jangkakan daripada sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang hamba sahaya yang hina dina tetapi memiliki kekuatan sehingga digambarkan oleh Nabi dengan watak "berhidung kemek" sementara dalam riwayat yang lain menyebutkan "kepalanya seperti kismis". Pemerintahan yang penuh dengan keadilan dan keamanan? Kemakmuran dan kesenangan? Atau tergambar dalam fikiran kita tentang keadaan kucar-kacir, penindasan, kekalutan, penyelewengan dan kerosakan lain.
Namun, seandainya keadaan tersebut benar-benar terjadi, Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya tidak melepaskan ketaatan kepada pemimpin negara, di samping membimbing mereka dan menasihati mereka secara sembunyi daripada pengetahuan umum.
Wasiat Haji Hadi
Wasiat Nabi ini bukanlah kisah penglipur lara, sebaliknya kata-kata penting yang terakhir daripada Baginda. Sepertimana Nabi Ibrahim telah mewasiatkan kalimah tauhid kepada keturunannya. Namun di sana juga ada wasiat-wasiat yang melencong malah menyesatkan umat manusia kerana dibina daripada kepalsuan.
Antaranya adalah 'Amanat Haji Hadi' yang disadur dari ucapan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. 'Amanat' ini dijadikan modal kempen oleh Bahagian Penerangan Pas Kelantan ketika pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada 1983, kemudian dicetak lagi oleh Pas Pusat dan Sekretariat Pemuda Pas Pusat.
Jelas ibarat mentari menyinar terang bahawa amanat ini berisi pengkafiran UMNO dan pemerintah negara. Malah wasiat ini juga menyatakan punca kekafiran UMNO iaitu "mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka".
Lantas Haji Hadi membuat andaian bahawa perjuangan Pas adalah sebuah jihad dan bukannya kerja jahat: "Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku".
Lama dahulu sebelum 'amanat' ini keluar, Ibnu Muljam mengeluarkan pemikiran yang serupa. Dia anggap membunuh Khalifah Ali yang 'dikatakan tidak berhukum dengan Hukum Tuhan' sebagai ibadah jihad dan jika terkorban maka matinya sebagai syahid. Dia berkata setelah penghakiman dijalankan: "Jangan kau penggal kepalaku sekali gus! Potonglah bahagian-bahagian tubuhku sedikit demi sedikit supaya aku menyaksikan bagaimana tubuhku disiksa di jalan Allah!".
Ibn Taimiyah menyatakan bahawa Ibnu Muljam mengkafirkan dan membunuh Ali atas kepercayaan untuk mendapatkan reda Allah dan Rasul-Nya dalam kitab beliau Minhaj as-Sunnah. Malah Ibnu Muljam itu lebih berpengetahuan daripada Haji Hadi.
Apabila Nabi SAW menekankan tentang pentingnya perihal persaudaraan sesama Islam seperti kata Nabi yang berbunyi: "Wahai manusia, dengarkanlah perkataanku dan perhatikanlah! Kalian tahu bahawa setiap orang Muslim adalah saudara bagi orang Muslim lain, dan semua kaum Muslimin adalah saudara. Seseorang tidak dibenarkan mengambil sesuatu dari saudaranya kecuali yang diberikan kepadanya dengan senang hati, kerana itu janganlah kalian menganiaya diri sendiri …"
Amanat Haji Hadi pula mencetuskan perpecahan dan pergaduhan sesama orang Islam. Terang lagi bersuluh hakikatnya di mana ada suami isteri yang bercerai kerana amanatnya, ada adik-beradik yang terputus silaturahimnya, tidak kurang juga ada yang mengharamkan sembelihan orang Islam dan masjid yang satu menyembah Tuhan yang satu dan kiblat yang satu tetapi memiliki dua imam ketika solat didirikan.
Bila mana Nabi SAW melarang kita agar tidak menodai hak sesama orang Islam yang berkaitan dengan kehormatan, harta benda dan nyawa dengan berkata: "Wahai manusia, sesungguhnya darah dan harta benda kalian adalah suci bagi kalian (yakni tidak boleh dinodai oleh siapa pun juga) sampai kalian bertemu dengan Rabb kalian, seperti hari dan bulan suci sekarang ini."
Amanat Haji Hadi menyeru jihad dengan musuhnya dalam kalangan orang Islam lain sebagai kafir. Dalam Islam seruan jihad hanya ditujukan kepada musuh yang kafir manakala syahid tatkala dibunuh oleh musuh yang kafir.
Mengkafirkan diri sendiri
Bererti Pas telah mengkafirkan diri sendiri tanpa sedar. Atau menurut Haji Hadi, perubahan zaman menyebabkan Perlembagaan Malaysia bukan lagi penyebab kekafiran. Dengan logik yang sama, mungkin dahulu menyembah Latta dan Uzza adalah sebuah kekafiran, namun setelah Pas bersekutu dengan DAP, menyebabkan berhala telah boleh diibadahi?
Sekiranya Perlembagaan Malaysia tetap kafir tetapi Pas tetap berjanji dan akan memungkirinya setelah berkuasa, bukankah ini sebuah kemunafikan? Tidak layak sebuah parti yang mendabik dada kerana membangun bersama Islam serta kepimpinan ulama menggunakan tatacara batil yang penuh dusta.
Ironinya Pas yang bersanding dengan DAP - sebuah parti yang menyatakan secara jelas untuk memperjuangkan sekularisme - seia sekata untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia yang dibuat oleh penjajah. Bukankah UMNO dikafirkan sebab Perlembagaan ini, tetapi pada hari ini Pas pula berjanji untuk mengekalkan jika berkuasa.
Lebih menarik adalah 'Amanat Haji Hadi' merupakan sebuah fatwa yang menyatakan UMNO kafir, namun Pas tidak mengeluarkan sebarang fatwa berhubung dengan DAP setelah bersekutu; apakah boleh seorang Muslim menyokong DAP, hukum menjadi ahli DAP yang nyata menetapkan 'politik suku, agama suku', dan apakah seorang ahli DAP yang menentang hudud akan masuk syurga ketika memangkah Pas?
Hakikatnya berhala tetap syirik. Rasulullah SAW memerintahkan Ali memusnahkan berhala, meratakan kuburan dan menghapuskan seluruh tempat kesyirikan tatkala pembukaan Thaif. Daripada hadis ini menyatakan bahawa perkara pertama yang wajib dilakukan oleh kerajaan adalah menentang kesyirikan walaupun kerajaan tersebut berkuasa hanya satu hari.
Namun, fakta menunjukkan upacara kesyirikan tetap berlaku di bawah pemerintahan Pas. Tangkal Hitam Putih terus bergantungan di kedai kaum muslimin di Kedah, Syiah Rafidah yang mengkafirkan para sahabat dipelawa, sehingga Mat Sabu menyokong Basyir Asad yang membunuh kaum Muslimin. Ajaran Rafidah yang kafir bercambah dalam jemaah Pas.
Rasulullah SAW akhiri amanat tersebut dengan sebuah pertanyaan yang menuntut kepastian daripada kaum muslimin tentang risalah yang beliau bawa. Lantas para sahabat berkata: "Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan tentang kerasulanmu, engkau telah menunaikan amanah dan telah memberikan nasihat". Manakala 'Amanat Haji Hadi' diakhiri dengan pemikiran Neo Khawarij dan gejala takfiri (mengkafirkan).

Lantik veteran Ahli Parlimen jadi mentor kawasan

Oleh ZULKIFLI JALIL dan ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my
DAP sekarang semakin risau. Parti itu kini tak tentu arah dengan 'kebangkitan' masyarakat India terhadap mereka. Kaum India terutama sekali yang menjadi ahli DAP semakin nampak tembelang dan muslihat kepimpinan parti itu.
Demonstrasi aman mempertikaikan muslihat salah kira undi yang mengetepikan ahli-ahli India dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tempoh hari di Pulau Pinang dipercayai hanya permulaan sahaja. Ada banyak lagi pemberontakan akan dilakukan kerana DAP dikatakan hanya mempergunakan kaum India untuk mendapatkan undi sahaja.
Dalam mendepani kelicikan DAP dan demam pilihan raya yang semakin membahang, Naib Pengerusi Strategi MIC, Datuk R. Ramanan menarik perhatian mengenai soal mentor dalam membantu calon-calon Barisan nasional (BN) menggalas cabaran besar memenangkan calon boleh menang.
"Berdasarkan kes atas kes, ada kerusi-kerusi Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri) di mana bekas MP (Ahli Parlimen) di kawasan itu yang kita sayang tetapi mungkin sekarang dia sudah berusia dan tak mahu lagi jadi calon.
"Bagi kerusi-kerusi ini, MP yang pernah menang mereka tahu akan selok-belok kawasan itu. Dah tahu struktur kawasan, peti undi, pengundi dan tahu masalah yang berlaku di kawasan itu.
"Mereka perlu dipertimbangkan untuk diletakkan di kawasan itu sebagai mentor membantu calon baru yang dipilih oleh pucuk pimpinan," kata beliau ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ramanan yang pernah mengendalikan Biro Sosial dan Kebajikan MIC sebelum ini tidak mahu memberikan contoh spesifik. Tetapi berdasarkan rekod, ada benarnya apa yang dilontarkan beliau. Katakanlah kawasan Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang. Penyandangnya, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah hampir 30 tahun di situ. Beliau tahu selok-belok kawasannya, saiz dan demografi penduduk serta pengundinya.
Di Tanjung Bungah, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sudah tidak mahu bertanding sama ada kerusi Parlimen atau DUN. Namun janganlah dibuang begitu sahaja pengalamannya. Beliau boleh memberi formula tertentu untuk mencari ceruk mana boleh digilap kembali sokongan pengundi.
Di Kubang Pasu, boleh dicari Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Sungai Siput, Datuk Seri S. Samy Vellu yang sudah 31 tahun di situ.
"Kalau kita lihat ada sesebuah kawasan DUN, saiznya mungkin sebesar Melaka atau Perlis. Di situ tinggal orang profesional Melayu, India dan Cina. Jadi, kalau calon baru, bagaimana dia nak 'tuju' ke situ jika tak tahu circle peti undinya. Bekas MP ada sistemnya, kalau tak ada sistem, macam mana dia boleh menang berpenggal-penggal.
"Pengalaman orang lama inilah dengan menggabungkan pengetahuan mereka, yang kita perlu tagih," kata beliau yang juga Penaung Malaysian Indians Student Association.
Bagi Ramanan, pembangkang akan membuat yang 'terbaik' dalam mencipta kekeliruan kepada umum. Cuma banyak orang bakal merasai impikasinya.
Kata beliau: "Memang banyak masalah pembangkang ini. Satu contoh klasik, isu Kampung Buah Pala (di Pulau Pinang), apabila Anwar (Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat) pergi ke sana, dia janji akan bina semua 'rumah kasih' sama penduduk. Ya, saya tahu ada beberapa orang tidak sehaluan dengan Anwar tapi kenapa kamu (Anwar) menindas mereka.
"Kenapa Anwar sanggup cakap "mereka berdiri dengan saya, sokong saya... jadi saya beri mereka rumah. Yang tidak undi saya sebab itu saya tak mahu bagi rumah. Sebagai pemimpin, sepatutnya Anwar bersikap profesional. Mesti adil kepada semua rakyat, pengundi, dan manusia.
"Dan untuk isu Kampung Buah Pala ini, memang dia (Anwar) dirikan kira-kira 50 rumah, tapi sembilan orang (rumah) yang menyokong BN, dia tidak mahu bagi," kata beliau lagi.
Dalam konteks ini, kata beliau, Perdana Menteri telah membuktikan keadilan untuk semua. Beliau membantu Melayu, Cina dan India walaupun sesetengah mereka tidak mempertaruhkan undi kepada BN.
"Dan kita boleh lihat bahasa tubuh Perdana Menteri yang beliau menyedari sokongan masyarakat India kepada kerajaan yang diterajuinya ketika ini telah melonjak kepada 80 peratus."
Sebelum mengakhiri perbualan dengan kami, Ramanan melontarkan: "Gambaran waktu 1960-an dan 1970-an daripada nenek saya (Tan Sri Dr. Devaki Krishnan), bangunan tertinggi di Malaysia ketika itu adalah bangunan KWSP, tapi sekarang Menara Petronas.
"Pada era nenek saya, kereta pun boleh dikira. Tapi sekarang satu keluarga dari sebuah rumah, ada sehingga lima hingga enam kereta.
"Dulu golongan profesional dalam masyarakat India sangat sedikit, sekarang begitu meningkat. Rakyat India yang datang ke sini (Malaysia) juga tak mahu balik... sebabnya mudah cari rezeki di sini. Saya juga ada ada beberapa rakan kongsi dari Turki dan Australia. Mereka suka kehidupan di sini, suka melihat cara negara menghimpunkan kepelbagaian kaumnya,"katanya.

Rujuk yang benar, elak kebatilan

AHLI politik dan ahli ilmu haruslah bersama-sama berganding bahu menyatukan pemikiran dan tenaga untuk menangani segala isu dan masalah yang timbul di dalam masyarakat kita, secara khususnya, masyarakat Islam.
Dewasa ini, isu kalimah Allah yang dituntut supaya digunakan di dalam kitab Kristian ketika menterjemahkan kalimah God atau Lord dan sebagainya, nampaknya telah selesai, dengan keputusan terakhir Pas melalui Majlis Syuranya, bahawa Allah adalah Tuhan umat Islam yang konsepnya tidak sama dengan God atau Lord, yang hendak diterjemahkan di dalam Bible versi bahasa Melayu sebagai "ALLAH".
Dari segi konotasi bahasa bahawa Allah itu sebagai Tuhan, mungkin tidak menimbulkan konflik akidah, kerana semua orang menyebut Tuhan, tetapi dari segi konsep dan penjelasan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa, adalah sesuatu yang khusus untuk Tuhan dalam agama Tauhid. Ini bererti bahawa zat Tuhan yang berkonsepkan triniti, atau mengandungi pengertian kepelbagaian Tuhan lain adalah jelas bertentangan dengan agama Tauhid, agama Islam yang diturunkan oleh Nabi terakhir, Muhammad SAW bahawa Allah itu adalah Tuhan Yang Maha Esa, yang diterangkan dengan jelas dalam surah 112 (Surah Al-Ikhlas) di dalam kitab suci al-Quran:
"Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah Yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan segala makhluk untuk memohon sebarang hajat, Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya."
Daripada tema dan pengertian surah ini jugalah datangnya ucapan kalimah syahadah yang merupakan asas pertama yang seharusnya diiktikadkan oleh manusia ketika menerima Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadah bahawa "tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah.
Hal ini perlu ditanamkan di dalam hati keturunan umat Islam sejak dari awal, sejak di dalam buaian ketika iqamah diucapkan kepada bayi yang baru lahir, yang di antaranya menyebut kalimah syahadah yang amat unik ini, dan dengan itu anak-anak umat Islam tidak akan terkeliru dengan istilah dan konsep Tuhan dalam konteks agama tauhid ini, yang mungkin boleh mempengaruhi minda mereka apabila semua Tuhan di dalam agama lain juga boleh dinamakan Allah, yang juga mungkin memberikan persepsi yang salah terhadap perbezaan akidah di antara agama Islam dan agama lain.
Bagaimanapun, jika diteliti pengertian ayat al-Quran, ternyata umat Islam tidak seharusnya menjadikan perbezaan kefahaman tentang agama Islam dan agama samawi lainnya sebagai titik tolak untuk berkonflik dan bermusuhan dengan bukan Islam. Namun dalam masa sama, umat Islam haruslah mempertahankan akidah dan elemen-elemen yang boleh merosakkannya dengan tegas.
Pertikaian tentang nama Allah juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk umat Islam berkonfrantasi dengan penganut lain, malah dalam hal menyentuh akidah, kita semuanya tetap mengamalkan dasar bersatu dalam kepelbagaian dengan syarat umat bukan Islam juga seharusnya menunjukkan sikap yang sama terhadap umat Islam. Ayat yang dimaksudkan itu ialah firman Allah S.W.T di dalam ayat 46, surah (29) Al-'Ankabut: Dan janganlah kamu berbahas (berdebat) dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka, dan katakanlah (kepada mereka) "kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami, dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu, dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu adalah satu, dan kepada-Nya-lah kami patuh dengan berserah diri".
Saya usulkan agar umat Islam meneliti kandungan ayat ini dan mengkaji tafsirnya yang baik dari para ulama dan ahli tafsir yang tulen. Para pentafsir menerangkan tentang kandungan ayat ini bahawa sekiranya berlaku perdebatan antara orang Islam dan bukan Islam, ahli Kitab, orang Yahudi dan Kristian, maka janganlah kita berdebat dengan cara yang tidak baik, tetapi ambillah cara berhikmah dengan mengemukakan hujah secara ilmiah yang dapat menyerlahkan kebenaran Islam dan perbezaannya dengan golongan lain.
Di antara petunjuk Allah yang diberikan kepada umat Islam di dalam ayat ini ialah tentang strategi perdebatan itu, iaitu ketika umat Islam sentiasa mengambil jalan damai dalam perbahasan, maka terangkanlah dengan jelas kepada pihak ahli kitab itu bahawa umat Islam tetap beriman kepada kitab-kitab mereka, Taurat dan Injil yang tulen dan asli, sama seperti berimannya umat Islam kepada al-Quran. Umat Islam telah diajar supaya menerima dan meyakini semua Nabi dan kitab suci yang diturunkan kepada Nabi yang terdahulu. Maka demikianlah sebaliknya orang-orang yang diturunkan kepada mereka kitab yang lain seharusnya mereka juga mestilah beriman kepada kitab suci al-Quran.
Maka dalam hal inilah para ulamak, para umarak, dan umat Islam umumnya haruslah mengkesampingkan ideologi kepartiannya yang sempit untuk membicarakan isu ini secara ilmiah dan mencari penyelesaian bersama secara sepadu, jujur dan ikhlas, bukan kerana mengikut sentimen dan emosi yang meledak kerana tujuan politik.
Saya rasa pihak Pas telah membuat keputusan terakhir tentang kalimah Allah ini berdasarkan kaedah syariah kita yang mengatakan "bahawa kembali kepada kebenaran itu adalah lebih baik daripada berlarutan di dalam kebatilan". Maka atas dasar ini saya para ulama, sama ada yang bergiat aktif dalam parti politik, atau tidak, seharusnya tampil membetulkan segala perselisihan dan perbalahan di antara ahli politik Islam yang ada kalanya akan menegakkan wawasan masing-masing berdasarkan ideologi politik kepartian.
Rasulullah SAW menjelaskan yang haram itu jelas, yang halal juga adalah jelas, dan di antara kedua-duanya itu terdapat isu-isu atau hukum yang samar-samar.
Dalam sejarah konflik umat Islam yang berlaku dalam era kebangkitan Islam pada tahun-tahun 70 an, dan ketika umat Islam berusaha untuk kembali kepada ajaran agamanya yang sejati, termasuk mengislamkan politik, kerajaan, sosial, ekonomi dan sebagainya, maka kefahaman tentang akidah juga sering terbawa-bawa dalam konflik itu, yang di antaranya timbullah isu kafir mengkafirkan sesama umat Islam yang dikenali dengan istilah "takfir". Takfir ialah hukuman murtad, syirik dan kafir yang dijatuhkan oleh segolongan umat Islam kepada saudara seagamanya, yang dianggap mempunyai akidah dan amalan yang salah, tidak sama dengan akidah pegangan mereka. Gerakan takfir berlaku dalam politik umat Islam di seluruh dunia, dan mengakibatkan perpecahan dan tindakan ekstrem yang membawa kepada pertumpahan darah.
Masyarakat Malaysia juga mengalami kejutan ini, dan sehingga ke hari ini banyak saksi yang tampil mengemukakan bukti dan pengalaman masing-masing ketika berlaku perpecahan yang serius di dalam masyarakat Islam sendiri akibat dari elemen ini, atau pentafsiran yang dibuat oleh orang awam tentang wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang dianggap kafir berbanding dengan golongan yang lain.
Fakta sejarah ini tentulah tidak dapat dinafikan lagi, dan sungguh pun kesannya secara langsung mungkin mulai luput, tetapi saya merasakan para ulama dan ahli agama, bersama-sama dengan ahli ilmuwan dan ahli politik sendiri, haruslah berusaha membetulkan keadaan ini. Kalau dalam isu nama Allah nampaknya kita mendapat persepakatan baik, maka saya rasa dalam isu ini pun kita perlu menjernihkan suasana dan kekaburan yang berlaku selama ini. Malah kalau dengan umat lain, ahli kitab juga, kita seharusnya dapat berdebat dengan baik, maka saya rasa dalam isu takfir ini juga kita dapat bertindak demikian. Ingatlah kaedah yang menjelaskan bahawa rujuk kepada kebenaran itu adalah lebih baik daripada berlarutan dalam kebatilan.