Bangsaku
yang bernama Melayu
Jangan kau
berlegai sesama sendiri kerana menurutkan nafsu yang membuak rakus dan haloba.
Tiada siapa yang lebih mulia di sisi Allah melainkan yang tinggi taqwanya.
Anugerah khalifah kepada bani Adam adalah amanah yang patut digenggam secara
berprinsip dan bukan dijadikan alat kepentingan diri mahupun kroni.
Siapakahyang
berani melupus kuasa dan kekuatan kita kalau bukan datangnya dari kalangan kita
bernama Melayu. Islam yang kita junjung bukan senjata mewajar kita menghina dan
membinasakan sama seagama. Allah Tuhan kita…Muhamad Rasul kita..syadat kita
sama…beriringan dengan akidah dan syariat yang tidak menuntut kita memutus
silaturahim atas nama politik yang dangkal dan membengongkan.
Aduhai
bangsaku…janalah kekuatan demi kelangsungan kita bernegara bukan sewenangnya
mengizinkan mereka yang tiba-tiba mahu dinobatkan sebagai peneraju mahupun raja
yang berkuasa. Bukankah kita didewasakan dengan sejarah silam setelah 446 tahun
dibelenggu dan dinafikan hak sebagai penguasa.
Kini kita
kian rapuh dalam majoriti yang tidak dimanfaat atas nama kuasa politik. Kita
asyik menelanjangi antara satu sama lain, menutur retorik penuh dusta, menghina
sesama sendiri tanpa batas kerana kita sudah kehilangan harga diri yang dulunya
kita terpuji dan dihormati.
Musuh
terdekat kian angkuh dan gembira melihat kebobrokan bangsa dan setiap
kesempatan mereka meraih kemenangan, kita pula kalah dalam percaturan dan anak
cucu bakal menggigit jari.
Sampai
bilakah bangsaku mahu sedar dari kealpaan dan mengakhiri dendam yang tiada
penghujungnya. Hari ini kita masih berfikir, esok mungkin terlalu lewat dan
akan datang kita sudah kehilangan segala-galanya.
No comments:
Post a Comment